
KUALA LUMPUR, 22 September 2026 – MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd. (MEX), anak syarikat kepada MARA Corporation Sdn. Bhd., secara rasmi memeterai kerjasama strategik usaha sama (JV) bersama CXS Analytics Sdn. Bhd. (CXS) bagi memperkasa penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan modal insan.
Langkah berimpak tinggi ini menggabungkan kekuatan rangkaian serta keupayaan pelaksanaan MEX bersama kelebihan teknologi analitik data dan AI canggih milik CXS.

Kolaborasi ini dijangka memberi nilai tambah signifikan kepada ekosistem MARA, selain disasarkan untuk diperluas ke sektor awam, korporat dan organisasi luar yang sedang giat melaksanakan automasi operasi.
Melalui sinergi tersebut, pelbagai inisiatif digital bakal diteroka, khususnya pembangunan bakat dan kompetensi, pemadanan latihan mengikut pasaran semasa, serta peningkatan produktiviti berasaskan keputusan data yang lebih pantas.
Ketua Pegawai Operasi MEX, Said Harull Nizam, menyatakan bahawa langkah ini sejajar dengan misi syarikat untuk terus relevan mendepani arus peralihan teknologi moden.
“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan baharu kepada MEX, malah memberi ruang kepada kami meneroka bagaimana AI dan analitik boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan modal insan serta ekosistem MARA sebelum dibawa ke pasaran lebih terbuka,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CXS, Johnathan JS, menegaskan bahawa peranan AI perlu diangkat sebagai pemangkin kemajuan manusia, bukan sekadar alat teknologi semata-mata.
Menurut beliau, AI harus membantu majikan dan organisasi memahami bakat secara menyeluruh, merapatkan jurang kebolehpasaran, serta memastikan keputusan pengurusan tenaga kerja dibuat dengan tepat.
“Bersama MEX, kami berpeluang membawa keupayaan analitik ini kepada ekosistem MARA dan seterusnya kepada pelbagai entiti yang sedang menempuh fasa transformasi digital,” kata Johnathan.
Rekod cemerlang CXS sebagai peneraju analitik modal insan terbukti menerusi penyelesaian data yang sebelum ini telah dimanfaatkan oleh lebih 300,000 pengguna dalam pelbagai sektor kerjaya.
Pemeteraian usaha sama ini sekali gus mengukuhkan peranan MEX sebagai rakan strategik utama dalam memacu agenda pemodenan tenaga kerja dan transformasi digital negara.
#TeknologiAI #BeritaAAC #MARACorp #ModalInsan #TransformasiDigital