KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa tampil memberi penjelasan telus susulan kekeliruan berhubung keputusan menggugurkan syarat wajib 30 peratus kuota ekuiti Bumiputera bagi pengendali Institusi Pendidikan Swasta (IPS).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar meluahkan rasa hairan dan mempersoalkan motif sebenar KPM yang sebelum ini dilihat seolah-olah mengaitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam meluluskan dasar baharu tersebut.
Menurut beliau, situasi itu menjadi tanda tanya besar apabila MITI sendiri tampil mengeluarkan kenyataan berasingan menafikan sebarang penglibatan dalam penetapan dasar KPM mengenai pegangan ekuiti berkenaan.
Sebaliknya, pihak yang bertanggungjawab dalam aspek tersebut adalah Kementerian Ekonomi dan bukannya MITI seperti yang digambarkan.
”Apa motif KPM dalam soal ini? Adakah ini cuba memberi gambaran dan berniat jahat (mala fide) bahawasanya Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga pimpinan UMNO bersekongkol menghapuskan ekuiti Bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru?” soal beliau.
Gulam menegaskan bahawa tindakan mengaitkan kementerian lain yang tiada kaitan langsung dengan dasar yang diputuskan adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau turut melihat insiden ini membimbangkan kerana ia menyerupai beberapa pergeseran sebelum ini, termasuk isu membabitkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Rentetan perkembangan itu, beliau menyifatkan timbul gambaran seolah-olah wujud gerakan tersusun yang cuba memburukkan imej menteri-menteri daripada UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan KPM agar tidak bersikap “baling batu sembunyi tangan” dan segera memperbetulkan salah faham ini demi memelihara keharmonian pentadbiran.
”KPM jangan bersikap baling batu sembunyi tangan dan perlu perbetulkan serta perjelaskan secara jujur dan telus dalam isu ini. Jangan sekali-kali mencari pasal dan cuba bermain api,” tegasnya.
#BeritaAAC #EkuitiBumiputera #KPM #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan