KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 disifatkan sebagai pentas paling sensasi, matang dan membawa mesej yang sangat mendalam daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Dr Azam Rauzan berkata, perhimpunan kali ini dijangka menjadi PAU terakhir sebelum Parlimen dibubarkan, yang mana beliau menjangkakan PRU16 bakal diadakan seawal pertengahan atau penghujung tahun 2027.
Menurut beliau dalam sesi temubual ‘Sembang Kopi’, ucapan dasar dan penggulungan Presiden kali ini disampaikan secara santai, jujur serta menekankan peri pentingnya kesatuan demi masa depan kestabilan negara.
“Mesej yang disampaikan oleh Datuk Presiden bukan sahaja menyentuh hati perwakilan, malah berjaya meresap ke peringkat akar umbi dan rakyat terbanyak yang kini memahami hala tuju parti,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Azam membandingkan PAU kali ini dengan konvensyen parti lain yang menurutnya sering terperangkap dalam retorik serta serangan berulang, sebaliknya UMNO menampilkan kematangan dan wawasan jelas.
Beliau turut menarik perhatian terhadap keterbukaan serta bayangan kerjasama antara UMNO dan PAS (biru dan hijau), sambil menyifatkan dinamik politik tersebut memberi gambaran baharu landskap politik Melayu-Islam tanpa bergantung kepada sentimen Perikatan Nasional.
Menyentuh mengenai gagasan ‘Wawasan Malaysia Biru’, beliau menegaskan bahawa ia membuktikan iltizam kepimpinan untuk merencana masa depan negara bagi tempoh jangka panjang merangkumi aspek teknologi, pengeluaran, dan pembangunan mampan.
Malah katanya, rekod pembangunan negara selama lebih enam dekad di bawah Barisan Nasional (BN)—daripada infrastruktur mega seperti MRT, ECRL, LRT sehinggalah TRX dan KLCC—merupakan fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan.
Beliau turut mendakwa rakyat kini semakin celik dan menyedari kesilapan lalu dalam memilih kepimpinan negara, lantas menyeru pengundi untuk membuat perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRU16.
“Matlamat utama kita adalah memastikan kestabilan dan memfokuskan kembali kepada pemulihan ekonomi serta pembangunan negara seperti era terdahulu,” tegasnya lagi.
Justeru, beliau menyeru seluruh jentera UMNO, parti komponen BN, rakan gabungan serta penyokong untuk menggembleng tenaga memberikan sokongan padu kepada kepimpinan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
#BeritaAAC #PAU2026 #PRU16 #SembangKopiPolitik #WawasanMalaysiaBiru