KUALA LUMPUR – Kemelut berpanjangan yang menyelubungi pentadbiran dan politik Negeri Sembilan dijangka bakal menemui titik noktah dalam tempoh dua minggu lagi, menurut Penganalisis Politik, Dr Azam Rauzan.
Berbicara dalam sesi temubual ‘Sembang Kopi’, beliau menegaskan bahawa situasi tegang yang berlarutan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan sehingga menjejaskan urus tadbir kerajaan.
Menurut Dr Azam, krisis tersebut bermula pasca-PRN sewaktu proses pelantikan berlangsung mengikut prosedur biasa yang merujuk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.
Beliau menjelaskan bahawa perintah mahkamah pada ketika itu telah menetapkan status quo. Namun demikian, rentetan peristiwa selepas pelantikan—termasuk tandatangan daripada peguam yang mewakili Undang Yang Empat serta Menteri Besar berhubung proklamasi—mula mencetuskan pertikaian.
Pertikaian itu kemudiannya menjurus kepada persoalan mengenai hierarki pentadbiran dan keputusan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Menurutnya, masalah tatakelola pentadbiran mula timbul apabila timbul dakwaan bahawa arahan yang telah diputuskan tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pentadbiran.
”Apakah kedudukan Menteri Besar itu lebih rendah daripada Setiausaha Kerajaan Negeri? Ini persoalan yang perlu dijawab,” soal Dr Azam sambil menegaskan negara yang telah merdeka selama puluhan tahun sepatutnya tidak berdepan isu birokrasi sebegini.
Mengulas lanjut, beliau turut menyuarakan rasa kesal apabila pelbagai isu pentadbiran terus dipolitikkan sehingga mencetuskan keadaan kucar-kacir serta spekulasi pemecatan EXCO.
”Tiba-tiba yang timbul ialah arahan EXCO dipecat. Masalahnya, kenapa tidak dipecat Menteri Besar sekali?” ujar beliau secara sinis ketika mengulas polemik tersebut.
Menyentuh jalan penyelesaian, Dr Azam menekankan bahawa Majlis Raja-Raja tidak boleh berdiam diri dan perlu memainkan peranan penting untuk meredakan kemelut yang berlaku.
Beliau berpendapat, campur tangan dan ketetapan tuntas amat diperlukan bagi memastikan institusi pentadbiran serta kestabilan negeri tidak terus diheret oleh ‘celoteh’ pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.
”Saya yakin dalam masa dua minggu lagi semuanya akan selesai. Kita tunggu dan lihat bagaimana perkara ini diselesaikan demi kebaikan pentadbiran negeri,” katanya mengakhiri bicara.
#KrisisNegeriSembilan #DrAzamRauzan #PolitikMalaysia #MajlisRajaRaja #BeritaAAC