KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Tindakan pimpinan DAP yang berulang kali menyatakan kesediaan melepaskan jawatan menteri berhubung isu pengampunan dan tahanan di rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai sandiwara politik semata-mata.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mendakwa langkah terbaharu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook merupakan satu bentuk “opera Cina” dengan plot twist licik bagi mengaburi mata rakyat.
Mengimbas kembali kenyataan pimpinan DAP terdahulu, beliau berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Anthony Loke sebelum ini begitu lantang dan bertegas sanggup mengorbankan kedudukan dalam Kabinet.
”Ketika PRN Johor berlangsung, dalam siri kempen YB Nga Kor Ming dengan bongkak menyatakan akan meletakkan jawatan, disusuli Anthony Loke yang beriya-iya kononnya sanggup berkorban selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan baki hukuman Datuk Seri Najib dijalani secara tahanan di rumah dengan prasyarat menyelesaikan denda RM50 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Gulam menyifatkan penetapan syarat terbaharu oleh Anthony Loke—kononnya peletakan jawatan hanya berkuat kuasa sebaik sahaja Najib memulakan tahanan di rumah—sebagai helah untuk berlengah.
Jelas beliau, taktik itu bermakna peletakan jawatan menteri tidak akan berlaku selagi garis panduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan tahanan di rumah belum disiapkan pihak berkuasa, meskipun bayaran denda telah diselesaikan.
”Apa yang ingin saya bangkitkan bukan soal denda atau bila Datuk Seri Najib dihantar ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, tetapi soal syarat atau SOP tahanan di rumah yang sehingga kini masih menjadi teka-teki bagaimana ia akan dilaksanakan,” tegas beliau.
Beliau menambah, tindakan tersebut membuktikan DAP sebenarnya sedang “membeli masa” (buying time) dan disyaki mempunyai agenda tersembunyi berhubung nasib bekas Perdana Menteri itu.
Mengulas lanjut, Gulam berpandangan DAP menyedari Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sudah semakin hampir, di mana tempoh hayat Kerajaan Perpaduan kini berbaki kurang daripada setahun.
”Dari segi masa (timing), adalah rugi untuk Anthony Loke melepaskan jawatan sekarang. Oleh itu, bagi membina naratif baharu, isu tahanan Datuk Seri Najib dijadikan alasan dan jalan keluar untuk mereka terus kekal dalam kerajaan,” jelasnya.
Gulam mendakwa, naratif serta optik yang akhirnya bakal disajikan kepada rakyat menjelang pembubaran Parlimen ialah Anthony Loke kekal memegang jawatan, Perdana Menteri terselamat, manakala Najib terus terperangkap di penjara.
”Datuk Seri Najib bakal menjadi mangsa ketidakadilan buat kali kedua selepas isu Titah Adendum sebelum ini diabaikan. Ini dinamakan ‘derhaka’ alaf dan teknik baharu kerana sekali lagi mengabaikan titah YDPA,” ujarnya mengakhiri kenyataan.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #AnthonyLoke #DAP #KeadilanUntukNajib