KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Ibu negara bakal menjadi tumpuan dunia apabila seramai 66 penceramah berprofil tinggi dari 17 buah negara disahkan bakal berhimpun menjayakan Annual Women Economic Forum (WEF) & G100 Global Meet 2026 bermula 14 hingga 17 Oktober depan bertempat di International Youth Centre (IYC), Cheras.
Pengumuman barisan penceramah dan kolaborasi strategik itu dizahirkan secara rasmi hari ini menerusi majlis pelancaran dan sidang media yang turut menghimpunkan rakan-rakan strategik serta barisan alumni pemimpin wanita.

Bertemakan “POWERING THE FUTURE: Empowering Communities and Cultures of Care, Co-Existence, Creativity & Commerce Through Women-Led Development”, persidangan mega selama empat hari ini bakal mengetengahkan sebanyak 25 sesi intensif merangkumi ucaptama, dialog dasar global, sesi perkongsian, bengkel serta meja bulat kepimpinan G100.
Antara barisan tokoh ternama yang bakal mewarnai pentas forum termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Sri TPr Dr. Maimunah Mohd Sharif; Presiden Global G100 2026, Datin Dr. Hartini Osman; Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, YBhg. Datin Anita Azrina Abdul Aziz; serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Kebangsaan Warga Filipina Muslim, H.E. Sittie Aishah Baicon Cayongcat Nuska.
Persidangan berprestij ini turut diserikan dengan penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi, antaranya WAWASANITA 30th Pearl Jubilee Gala and Awards anjuran Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) pada 15 Oktober, serta program kebajikan Run for Hope 5KM di Tasik Permaisuri pada 17 Oktober bersempena Hari Antarabangsa bagi Pembasmian Kemiskinan.
Di samping itu, forum ini dijangka memeterai beberapa inisiatif penting dan memorandum persefahaman (MoU) merentas sempadan, termasuk pelancaran hab perniagaan wanita, jaringan Think Tank, serta pengukuhan hab halal ASEAN bagi memperluas pasaran usahawan wanita serantau.
Pemilihan IYC Kuala Lumpur sebagai lokasi persidangan disifatkan amat bersesuaian memandangkan pusat berkenaan memiliki nilai sejarah filantropi yang kukuh selain menyediakan fasiliti serba lengkap dan kondusif bagi menyokong pelbagai sesi libat urus, pameran produk usahawan dan program komuniti.
Penyertaan persidangan ini dibuka sepenuhnya kepada orang ramai, agensi swasta, institusi korporat serta badan bukan kerajaan (NGO). Maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan jadual penuh program boleh didapati menerusi portal rasmi di https://wef2026.ybcaremalaysia.com/.
#WEF2026 #G100GlobalMeet #BeritaAAC #WanitaBangkit #WomenEmpowerment