KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Pemergian ‘Bonda Negara’, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, meninggalkan kesan mendalam dan rasa duka yang sukar digambarkan buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya aktivis kebajikan dan pembangunan wanita.
Rasa hiba dan kehilangan itu dikongsi oleh Presiden Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datin Dr. Hartini Osman, yang menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan seorang figura ibunda yang tiada galang gantinya.
Menurut beliau, seluruh generasi rakyat Malaysia membesar dengan menyaksikan ketokohan Allahyarhamah di sisi suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
”Secara peribadi, saya berasa amat hiba kerana kita kehilangan seorang ‘Bonda Negara’. Beliau sangat terkesan di jiwa kita semua kerana kita membesar ketika beliau dan suaminya memimpin negara,” katanya dengan nada sebak.
Datin Dr. Hartini menambah, Allahyarhamah merupakan lambang isteri dan wanita teladan yang sentiasa taat, lemah lembut, penuh kasih sayang, serta teguh berdiri memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan suami.
Mengimbas kenangan bersama, beliau mendedahkan sokongan padu yang diberikan oleh Allahyarhamah kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya YBK seawal tahun 1999.
”Pada tahun 1999, beliau sendiri hadir ke PWTC merasmikan program luar bandar kami bagi melihat keupayaan wanita berdikari. Malah pada tahun 2000, beliau sendiri mahu turun padang melawat YBK melihat asrama kasih, pusat latihan, dan institusi pendidikan anak-anak yang kita bina,” jelas beliau.
Bukan sekadar prihatin terhadap anak-anak dan golongan kurang bernasib baik, Tun Dr. Siti Hasmah juga diingati sebagai pelopor idea penubuhan institusi perbankan khusus untuk memperkasa kaum hawa.
”Walaupun perwatakannya lemah lembut, hasil kerjanya sangat berkesan. Beliau pernah membawa gagasan untuk menubuhkan bank wanita, dan legasi perjuangan itu kini diteruskan di peringkat antarabangsa (WEF) melalui agenda penubuhan Global Women’s Bank,” ujarnya.
Mengakhiri temubual, beliau berharap kepimpinan generasi baharu mencontohi keperibadian dan dedikasi Allahyarhamah yang sentiasa berbakti dengan penuh keikhlasan.
Beliau turut mendoakan agar Tun Dr. Mahathir serta seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan, serta roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan para solihin di syurga tertinggi.
#BondaNegara #TunDrSitiHasmah #BeritaAAC #InspirasiWanita #YBK