KUALA LUMPUR, 30 September 2026 – Ekspo Teknologi Pengguna Asia Tenggara (Malaysia) 2026 (SEATCE 2026) rasmi membuka tirainya hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), menghimpunkan 200 pempamer termasuk 160 wakil perusahaan dari wilayah perindustrian utama China, Henan.
Penganjuran selama tiga hari sehingga 2 Oktober ini dirasmikan oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Dato’ Mohammad Sahar Mat Din, yang menyifatkan ekspo ini sebagai pemangkin penting dalam menghubungkan ekosistem pengeluar, pembeli, pelabur serta pemain e-dagang kedua-dua negara.
SEATCE 2026 mengetengahkan enam sektor utama iaitu Ekonomi Digital, Teknologi Pendidikan, Pakaian dan Fesyen, Keselamatan Kebakaran, Alat Ganti Automotif serta Sistem Rawatan Air bagi pasaran serantau.

Bercakap kepada media, Dato’ Mohammad Sahar menjelaskan bahawa Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan utama delegasi perniagaan China berikutan kestabilan ekonomi dan kedudukan strategiknya sebagai gerbang memasuki pasaran ASEAN serta negara-negara Islam di Asia Barat.
Menurut beliau, saban minggu negara menerima tidak kurang daripada dua hingga tiga delegasi perdagangan dari China yang melihat potensi besar menjalinkan usahasama pintar bersama syarikat tempatan.

Peluang ini diperkukuh dengan peranan Henan sebagai wilayah gergasi berpenduduk lebih 100 juta orang—tiga kali ganda populasi Malaysia—dengan kira-kira 3 juta penduduk Muslim, sekali gus membuka potensi besar bagi pertukaran budaya dan perdagangan dua hala.
Bagi pihak penganjur dan DPIM, kerjasama ini turut melangkaui pameran konvensional apabila dewan perniagaan tersebut sedia menyediakan khidmat bimbingan serta advokasi pensijilan halal JAKIM kepada produk dari China.




Langkah ini penting bagi membolehkan produk pengguna dan makanan dari wilayah tersebut menepati piawaian halal antarabangsa sebelum menembusi pasaran Asia Tenggara dan rantau Timur Tengah dengan lebih meluas.
Pihak penganjur menyasarkan kehadiran kira-kira 8,000 pelawat profesional sepanjang tiga hari ekspo berlangsung, yang turut dimeriahkan dengan sesi padanan perniagaan secara langsung serta pertemuan ‘satu-ke-satu’.


Kesinambungan kerjasama ini juga bakal diteruskan melalui pameran mega di Bangkok dan Hong Kong pada Oktober ini, sebelum misi timbal balas membawa usahawan Malaysia ke Wilayah Henan dijadualkan berlangsung pada Ogos tahun hadapan.

Produk eksport utama Malaysia seperti barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit, sarung tangan getah serta farmaseutikal dijangka menjadi tumpuan utama pasaran Henan dalam misi dagang tersebut kelak.

#BeritaAAC #SEATCE2026 #MalaysiaChina #PerniagaanHalal #WTCKL