KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa mengamalkan modus operandi bersiri iaitu “sorok, sembunyi dan nafi” setiap kali terpalit dengan krisis melibatkan kepentingan institusi diraja serta pentadbiran.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar menyelar sikap kepimpinan parti itu yang didakwanya cuba mengaburi mata rakyat susulan kemelut yang sedang melanda antara pihak Istana dan institusi Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Menurut beliau, tindakan menafikan kewujudan dokumen penting bukanlah perkara baharu, malah telah menjadi corak tindakan yang berulang.
”Jika Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong pun boleh disorokkan, apalah sangat Minit Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April 2026 yang menjadi titik tolak krisis di Negeri Sembilan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mengaitkan penafian Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berhubung isu minit mesyuarat tersebut dengan kenyataan terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen.
Jelasnya, penafian berterusan itu memperlihatkan strategi PKR yang sengaja mengelak daripada memikul tanggungjawab sebenar apabila timbul kontroversi.
Gulam menegaskan, selepas menyorok dan menafikan fakta, pihak berkenaan sebaliknya bertindak memainkan peranan sebagai mangsa (play victim) dengan menuding jari kepada pihak lain.
”Lebih mengecewakan, UMNO pula yang dituduh jahat, menjadi punca masalah serta didakwa bersekongkol dengan pihak tertentu, malah sehingga ke tahap melabelkan UMNO sebagai parti derhaka,” tegas beliau.
Mengibaratkan situasi berkenaan seperti peribahasa ‘orang lain makan nangka, orang lain kena getah’, beliau menyifatkan UMNO Negeri Sembilan kini terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan pihak lain.
Beliau turut menjangkakan senario serupa akan terus diputar belit membabitkan isu titah tahanan di rumah bagi mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Gulam turut membidas sikap berpilih-pilih pihak tertentu, termasuk bekas pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) seperti Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah yang sebelum ini lantang mendesak minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan.
Beliau mempersoalkan mengapa pihak terbabit mengambil pendekatan membisu dan tidak mendesak perkara sama berhubung pendedahan Minit Mesyuarat DKU, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk sikap dwistandard.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #KrisisNegeriSembilan #MinitDKU #UMNOBatu