KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Sebuah institusi perbankan terkemuka, P Bank, didakwa terus bersikap angkuh dan mengabaikan nasib peminjam selepas sepasang warga emas mendakwa masih dibebani bayaran ansuran perumahan yang sepatutnya selesai bertahun-tahun lamanya.

Isu berkenaan didedahkan oleh Aktivis Sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang hadir bersama pasangan warga emas terbabit, Encik Selladurai (69 tahun) dan Puan Parameswari (64 tahun), menuntut penjelasan serta penyelesaian penuh daripada pihak bank.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, pasangan itu membeli sebuah unit pangsapuri berharga RM65,900 pada tahun 2002 dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sebanyak RM52,600 serta polisi MRTA sebanyak RM2,500, menjadikan pinjaman penuh RM55,100.

Perjanjian pinjaman tersebut menetapkan tempoh bayaran selama 15 tahun (180 bulan) dengan kadar ansuran RM586 sebulan. Bagaimanapun, walaupun tempoh 15 tahun telah lama berlalu, peminjam didakwa masih dipaksa membuat bayaran ansuran sehingga kini.
Ketika pandemik COVID-19, peminjam telah mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menetapkan bayaran distrukturkan semula kepada RM300 sebulan. Namun pada tahun 2025, kadar ansuran didakwa melonjak semula kepada RM650 sebulan walaupun usia mereka sudah uzur dan sumber pendapatan semakin terjejas.
Lebih mengecewakan, peminjam mendakwa pihak bank tidak pernah membekalkan penyata akaun (statement) terperinci mengenai baki pinjaman, sebaliknya hanya menghantar notis tuntutan tunggakan dengan mengenakan caj peguam sehingga RM485 bagi setiap surat.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut mendedahkan bahawa cubaan untuk menyelesaikan perkara ini secara rasmi melalui e-mel bertarikh 30 Jun serta lawatan pegawai pembantunya ke cawangan bank sebanyak tiga kali menemui jalan buntu apabila janji maklum balas dalam tempoh lima hari langsung tidak diendahkan.
Beliau mengecam tindakan bank terbabit yang didakwa bermaharajalela menindas masyarakat marhaen dan mendesak Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan unit siasatan khas bagi meneliti amalan penyelewengan institusi kewangan terhadap peminjam.
Pihak aktivis kini memberi tempoh moratorium selama tujuh hari kepada P Bank untuk menyerahkan penyata penuh akaun berserta kiraan BLR/OPR dan melunaskan status pelepasan pinjaman berkenaan secara muktamad.
Beliau menegaskan tindakan demonstrasi dan pendedahan awam terpaksa diambil demi membela nasib peminjam miskin dan mengelakkan rumah milik mangsa daripada dilelong secara tidak adil.
#BeritaAAC #PBank #MangsaPinjaman #BankNegaraMalaysia #BelaWargaEmas