KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Sikap tegas dan pendekatan keras yang diambil oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain terhadap anggotanya mempunyai asas kukuh dan tidak wajar dijadikan modal untuk menjatuhkan reputasi beliau.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, langkah drastik itu terpaksa diambil susulan kedegilan segelintir pegawai yang mengabaikan teguran serta amaran berulang kali berhubung isu pencerobohan warga asing dan sindiket ‘counter setting’.
Menurut Jamal, tindakan tegas berkenaan wajar dinilai berdasarkan keseriusan kesalahan yang sedang dibanteras, memandangkan amaran awal yang diberikan sebelum ini seolah-olah tidak diendahkan langsung oleh pihak terbabit.
Beliau menyambut baik keberanian Shuhaily dalam mempertahankan integriti sempadan negara dan membanteras sebarang kegiatan yang mencemarkan imej agensi penguatkuasaan.
Kenyataan tersebut hadir susulan penularan satu rakaman video melibatkan Shuhaily dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, di mana Shuhaily menyatakan keterbukaannya menyerahkan keputusan lanjut kepada pihak kerajaan.
Mengulas perkara itu, Jamal percaya reaksi agresif Shuhaily berpunca daripada rasa kecewa yang mendalam apabila mendapati wujud anggota AKPS sendiri yang bertindak sebagai dalang di sebalik pencerobohan tersebut.
Tindakan segelintir anggota yang menjadi penghubung kepada sindiket antarabangsa jelas mengambil kesempatan ke atas kelemahan pintu masuk negara, sekali gus menggadaikan kedaulatan undang-undang.
Tegas Jamal, operasi pembersihan dan tindakan keras terhadap kegiatan ini wajib diteruskan secara konsisten tanpa memilih bulu atau memandang pangkat dan kedudukan individu terbabit.
Beliau berharap pembongkaran berani ini dapat menamatkan terus budaya songsang yang menghalalkan aktiviti penyeludupan migran, selain memastikan setiap individu yang bersubahat diheret ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, Jamal turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara menyeluruh pihak di sebalik penyebaran rakaman video berkenaan.
Beliau percaya wujud motif sabotaj terancang bagi mematikan momentum kerajaan dan menghalang usaha pembersihan rasuah dalam kalangan penjawat awam, khususnya di pintu masuk utama negara.
Justeru, beliau mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar menyiasat insiden tersebut secara adil dan telus bagi memastikan integriti kawalan sempadan negara terus terpelihara.
Sumber – berita dipetik dari Malaysia Gazette
#BeritaAAC #ShuhailyMohdZain #CounterSetting #JamalYunos #KawalanSempadan