KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2026 – Pemuda UMNO membidas tindakan beberapa pemimpin DAP yang memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan perbezaan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion melibatkan Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil berkata, walaupun pihaknya menghormati proses perundangan dan siasatan pihak berkuasa, rakyat perlu diberikan pendedahan yang tepat mengenai tatacara sebenar pengurusan peruntukan kerajaan.
Menurut beliau, sesebuah kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya berbelanja melebihi peruntukan kerana setiap transaksi tertakluk ketat kepada kelulusan, waran, dan sistem kawalan kewangan kerajaan.
Fadzmel menjelaskan bahawa bagi projek pembangunan, peruntukan boleh diselaraskan mengikut keperluan semasa projek, namun pelarasan tersebut memerlukan kelulusan rasmi daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Beliau menegaskan kesilapan DAP terletak pada perbandingan terus antara peruntukan asal dengan perbelanjaan akhir tanpa mengambil kira jumlah peruntukan yang telah dipinda secara sah.
Memberi analogi ringkas, beliau berkata jika projek bernilai RM100 dinaikkan peruntukannya kepada RM150 dan RM145 dibelanjakan, ia bukanlah terlebih belanja RM45 sebaliknya masih mempunyai baki penjimatan sebanyak RM5.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025, peruntukan asal projek JALB KKDW adalah sekitar RM3.982 bilion sebelum diselaraskan secara rasmi kepada RM6.143 bilion, manakala perbelanjaan sebenar dicatatkan pada RM6.108 bilion.
Berdasarkan angka tersebut, beliau menyatakan KKDW tidak pernah terlebih belanja, sebaliknya perbelanjaan kementerian itu masih mencatatkan baki peruntukan kira-kira RM34.3 juta.
Tambah beliau, pelarasan bajet adalah amalan biasa yang dipengaruhi kemajuan fizikal projek, tuntutan bayaran, komitmen sedia ada, perubahan skop kerja, mahupun penyelarasan siling perbelanjaan pembangunan.
Fadzmel turut membandingkan situasi tersebut dengan amalan di MOF sendiri, di mana peruntukan asal sebanyak RM81.0 bilion mencatatkan perbelanjaan RM173.4 bilion, namun selepas pelarasan siling kepada RM219.2 bilion, kementerian terbabit sebenarnya masih mempunyai baki RM45.8 bilion.
Justeru, beliau menegaskan tuduhan bahawa dana dibelanjakan sesuka hati adalah tidak berasas kerana perubahan jumlah berpunca daripada proses penyelarasan peruntukan yang diluluskan secara sah.
Beliau menasihatkan orang ramai agar memahami tatacara pengurusan fiskal negara dengan teliti dan tidak terikut-ikut dengan naratif yang cuba dimainkan pihak tertentu.

#BeritaAAC #KKDW #PemudaUMNO #DAP #IsuSemasa