KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2026 — Cadangan Parti Bersama untuk mengembalikan rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan Bayangan 2027 disifatkan sebagai satu pengakuan terbuka terhadap kebenaran dasar ekonomi Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, melahirkan rasa terkejut dengan peralihan pendirian parti pimpinan Rafizi Ramli itu yang kini meletakkan GST sebagai instrumen menyelesaikan beban fiskal negara.
Menerusi belanjawan bayangan tersebut, Parti Bersama dilaporkan mencadangkan pengenalan semula GST pada kadar permulaan lima peratus, selain memansuhkan inisiatif sedia ada seperti Budi95, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk digantikan dengan mekanisme bantuan bersasar.
Gulam menyindir peralihan naratif berkenaan, menyifatkan Rafizi dan sekutu politiknya sebelum ini bersungguh-sungguh melabelkan GST sebagai regim cukai “draconian”, memeras rakyat, dan membebankan sehingga terciptanya lagu sindiran popular berkaitan cukai itu.
”Saya ingat hanya bermimpi. Bukankah sebelum ini naratif GST dibina sedemikian rupa sehingga menjadi antara faktor utama tumbangnya kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, selepas 11 tahun sistem percukaian tersebut diperkenalkan oleh era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kepimpinan Rafizi akhirnya dilihat mengakui kecekapan GST berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
”Alhamdulillah, rupanya baru sekarang Rafizi mendapat kesedaran bahawasanya GST lebih baik daripada SST untuk menyelesaikan masalah fiskal negara,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Gulam turut mendesak pemimpin DAP, khususnya Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, untuk turut membuka mata terhadap kegagalan SST yang didakwanya kini membebankan komuniti peniaga.
Menurut beliau, rungutan mengenai kekangan percukaian semasa banyak disuarakan oleh masyarakat Cina yang sebahagian besarnya menceburi sektor perniagaan, walaupun kelompok itu memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU 2018 dan 2022.
Beliau mendakwa ketidakpuasan hati terhadap polisi ekonomi sedia ada telah diterjemahkan melalui kemerosotan sokongan terhadap DAP dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam secara sinis mengucapkan terima kasih atas sokongan terbaharu Rafizi terhadap pelaksanaan GST dan menyarankan agar beliau menuntut ilmu daripada tokoh GST UMNO.
”Jangan segan silu jemput Datuk Seri Ahmad Maslan yang mempunyai ‘PhD’ dalam subjek GST bila berkempen nanti. Ternyata Bossku dan BN berada di landasan yang betul selama ini,” katanya.
#GSTKembali #RafiziRamli #PolitikMalaysia #Belanjawan2027 #BeritaAAC