
KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Nasib malang menimpa sebuah keluarga di Slim River apabila kediaman yang diduduki selama hampir 39 tahun dirobohkan oleh pihak berkuasa, menyebabkan sepasang warga emas yang uzur kini terpaksa menumpang berteduh di sebuah kuil kecil tanpa bekalan asas yang sempurna.
Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil mendesak Menteri Besar Perak agar segera campur tangan bagi menyelesaikan kemelut yang didakwa sudah berlarutan selama satu tahun lapan bulan tanpa penyelesaian konkrit.
Beliau yang hadir bersama seorang lagi aktivis, Mr. Dandy, serta wakil keluarga mangsa, Puan Saraswathi, meluahkan rasa kesal atas tindakan perobohan struktur berkenaan yang didakwa dilakukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Menurut beliau, tindakan merobohkan rumah tersebut pada Mei 2025 meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga berkenaan, terutamanya ibu bapa Puan Saraswathi yang kini mengalami masalah kesihatan kritikal, termasuk menghidap kanser tahap empat dan lumpuh.
”Sudah 39 tahun mereka mendiami kawasan itu selepas membelinya daripada pemilik terdahulu. Selepas puluhan tahun merdeka, mengapa pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan tidak mencari jalan untuk menghalalkan atau memberi penempatan ganti sebelum tindakan roboh diambil?” soal beliau.
Dr. Kalaivanar turut meluahkan kekecewaan terhadap wakil rakyat kawasan berkenaan, termasuk Ahli Parlimen Tanjong Malim yang juga memegang jawatan Menteri Persekutuan, serta ADUN setempat yang didakwa gagal memberikan pembelaan jangka panjang.
Katanya, bantuan sementara seperti sumbangan bakul makanan atau wang saguhati beberapa bulan sewa rumah tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu utama iaitu ketiadaan tempat berteduh kekal bagi rakyat daif.
”Bila tiba musim pilihan raya, bukan main lagi merayu undi daripada rakyat. Namun bila rakyat berdepan ujian berat sebegini, pejabat mereka seolah-olah acuh tak acuh dan melepaskan tanggungjawab,” tegasnya.
Beliau menambah, satu memorandum telah pun diserahkan kepada pihak Pejabat Menteri Besar Perak dan wakil rakyat terbabit sebelum ini, namun sehingga kini tiada maklum balas mahupun tindakan susulan yang sewajarnya diambil.
Sehubungan itu, Dr. Kalaivanar merayu atas dasar ehsan dan budi bicara kerajaan negeri agar mempertimbangkan peruntukan sebidang tanah kecil atau sebuah rumah mampu milik/rumah rakyat buat keluarga malang tersebut.
”Mereka bukan meminta projek jutaan ringgit, mereka hanya mahukan sekadar bumbung untuk berlindung buat ibu bapa yang sedang sakit tenat. Jangan biarkan rakyat sendiri hidup merana di tanah air sendiri,” katanya lagi.
#BeritaAAC #KeadilanRakyat #SlimRiver #IsuTanahPerak #DrKalaivanar