
KUALA LUMPUR, 4 November 2026 — Bonda kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib, dilaporkan kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Perkhabaran duka tersebut dikongsikan sendiri oleh anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.
Menurut Mohd Nizar, beliau sekeluarga dengan penuh rasa rendah hati memohon jasa baik seluruh rakyat, sahabat handai serta kenalan untuk sama-sama menitipkan doa buat bonda tercinta, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar.
”Dengan penuh rasa rendah hati, saya memohon doa daripada seluruh sahabat handai, saudara-mara dan kenalan agar sama-sama mendoakan kesihatan bonda tercinta, Tengku Puteri Zainah, yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
”Keadaan bonda masih kritikal. Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan, memberikan kekuatan dan mengurniakan kesembuhan buat bonda,” luahnya.
Dalam hantaran penuh emosi itu, beliau turut memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar segala urusan rawatan dipermudahkan serta penderitaan yang ditanggung bondanya diringankan.
”Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, limpahkanlah rahmat dan kasih sayang-Mu kepada bonda kami. Permudahkanlah segala urusannya, ringankanlah penderitaannya dan kurniakanlah yang terbaik buat dirinya.
”Kami sekeluarga amat mengharapkan doa daripada semua. Semoga setiap doa yang dititipkan menjadi asbab rahmat dan pertolongan Allah SWT,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Mohd Nizar tidak memperincikan punca atau masalah kesihatan sebenar yang dialami oleh bondanya sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi berkenaan.
Ruangan media sosial mula dihujani ucapan takziah, kata-kata semangat dan titipan doa daripada orang ramai yang mengharapkan kesembuhan segera buat Tengku Puteri Zainah serta ketabahan buat seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian getir ini.
#NizarNajib #TengkuPuteriZainah #AATVNews #BeritaTerkini #DoaBuatBonda