KUALA LUMPUR, 7 November 2026 – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh susulan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden KIMMA, Datuk Seri Haji Syed Ibrahim Kader berkata, pihaknya memandang serius pengumuman AGC bertarikh 6 November lalu yang disifatkan menimbulkan persoalan besar dari sudut perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, timbul tanda tanya mengenai punca kuasa AGC dalam menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah serta kedudukan Perintah Pengampunan Bersyarat yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
KIMMA menegaskan bahawa sebarang tindakan yang menyentuh prerogatif pengampunan diraja dan ketetapan badan kehakiman wajib mematuhi kerangka undang-undang serta Perlembagaan tanpa kompromi.
Sehubungan itu, Syed Ibrahim mendesak siasatan dibuat bagi mengenal pasti sama ada AGC mempunyai asas undang-undang yang sah, termasuk kewujudan sebarang perintah penangguhan rasmi daripada mahkamah.
Beliau turut menegaskan perlunya siasatan terhadap Peguam Negara sekiranya dikesan wujud elemen salah guna kuasa, pelanggaran perintah mahkamah atau tindakan yang melangkaui batas bidang kuasa yang diperuntukkan.
Menurutnya lagi, pertikaian ini bukan semata-mata mengenai hak seorang individu, sebaliknya berkait rapat dengan prinsip asas kedaulatan Raja Berperlembagaan, keluhuran perlembagaan dan doktrin pengasingan kuasa.
KIMMA turut mengingatkan pihak berkuasa agar tidak membiarkan wujudnya persepsi rakyat bahawa undang-undang dilaksanakan secara berpilih atau dipengaruhi kedudukan individu tertentu.
Syed Ibrahim menambah bahawa seluruh institusi kerajaan dan penjawat awam bertanggungjawab mempertahankan undang-undang serta tidak bertindak di luar skop mandat yang ditetapkan.
Justeru, KIMMA menggesa pihak berwajib memberikan penjelasan telus kepada umum bagi membendung kekeliruan serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi keadilan negara.
”Kedaulatan Raja Berperlembagaan mesti dihormati, keluhuran Perlembagaan mesti dipertahankan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan tanpa pengecualian,” tegas beliau menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.


#BeritaAAC #NajibRazak #KIMMA #IsuTahananRumah #KedaulatanUndangUndang