MELAKA, 8 November 2026 — Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memasuki fasa genting memperlihatkan momentum sokongan yang semakin meningkat, sekali gus menepis persepsi awal bahawa pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana lesu atau sendu.
Penganalisis Politik, Dr Azam Rauzan berkata, pemerhatian di lapangan mendapati kebanyakkan rakyat, khususnya masyarakat Melayu tempatan, seolah-olah telah menetapkan pilihan dan membuat keputusan lebih awal berbanding pusingan pertama kempen.
Menurut beliau, simbiosis serta kerjasama yang kuat berteraskan semangat ‘Penyatuan Ummah’ antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada kempen kali ini mempamerkan keharmonian yang jauh lebih positif berbanding situasi di tempat lain.
Dr Azam menjelaskan, gerak kerja kempen yang dijalankan secara tersusun dan bersemuka (hands-on) berjaya menyantuni denyut nadi rakyat tempatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada gimik di media sosial.
Beliau turut memuji peranan bekas-bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu, termasuk kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang disifatkan berorientasikan rakyat (rakyat-centric) dalam merungkai isu-isu kompleks setempat seperti perebutan hak milik dan faraid tanah.
Menyentuh dinamik politik semasa, beliau tidak menolak bahawa isu-isu di peringkat nasional memainkan peranan penting dan memberi kelebihan nilai tambah (plus point) buat gabungan tersebut.
Jelasnya, kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap layanan yang diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, serta isu-isu sensitif berkaitan kemurkaan pihak Istana Negara menjadi pemangkin kepada peningkatan sentimen penolakan terhadap pihak lawan.
Mengulas mengenai potensi beberapa kerusi panas, Dr Azam menarik perhatian kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan nama-nama berprofil tinggi.
Beliau optimis kerusi Bukit Katil berpeluang cerah untuk dirampas kembali sekiranya kesepakatan dan gelombang Penyatuan Ummah diterjemahkan sepenuhnya di kertas undi.
Di samping itu, kerusi DUN Pantai Kundor turut diklasifikasikan sebagai kubu yang mampu dipertahankan sekiranya isu-isu kebajikan nelayan tempatan terus diberi penyelesaian tuntas berpandukan sokongan padu gabungan undi terdahulu.
Secara keseluruhannya, Dr Azam meramalkan BN dan PN berada di landasan selesa untuk menguasai sekurang-kurangnya 25 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, termasuk potensi MCA memenangi kira-kira tiga kerusi yang ditandingi.
#PRNMelaka #BeritaAAC #PenyatuanUmmah #PolitikMelaka #DrAzamRauzan