MELAKA – Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 yang kini memasuki minggu pertama dilihat masih belum mencapai tahap kepanasan sebenar.
Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar berkata, persekitaran semasa ketika ini masih berada di peringkat awal dengan parti-parti bertanding baru sahaja mula melancarkan manifesto masing-masing.
Bagaimanapun, beliau yakin sebahagian besar rakyat serta pengundi di Melaka sebenarnya sudah mempunyai ketetapan awal mengenai parti dan calon pilihan mereka.
Menurut beliau, fenomena ‘suasana dingin’ di peringkat awal ini adalah perkara biasa sebelum ia dijangka memuncak menjelang fasa akhir tempoh berkempen.
”Walaupun suasana belum begitu hangat sekarang, saya menjangkakan beberapa hari mendatang terutamanya pada Rabu, Khamis, dan Jumaat, bahang kempen akan menjadi jauh lebih panas,” katanya.
Dr. Norman menjelaskan, tempoh akhir berkempen lazimnya akan dipenuhi dengan pelbagai program agresif merayu undi serta siri ceramah mega yang dianjurkan oleh parti-parti yang bertanding.
Beliau menambah, pemerhatian di lapangan serta sentimen di media sosial menunjukkan pengundi telah lama mengikuti perkembangan dan prestasi kerajaan negeri sedia ada.
Faktor pencapaian dan rekod pentadbiran kerajaan negeri menjadi antara asas penting yang mempengaruhi penilaian rakyat tanpa perlu menunggu tempoh kempen tamat.
Justeru, walaupun strategi kempen bersemuka dan pelancaran tawaran baharu sedang giat digerakkan, arus pemikiran pengundi dikatakan sudah mula terbentuk.
”Saya yakin pengundi di Melaka sudah membuat keputusan dan mereka sudah tahu siapa serta parti mana yang mahu diundi pada hari pembuangan undi nanti,” tegas beliau.
Perkembangan beberapa hari terakhir ini bakal menguji sama ada strategi saat akhir parti bertanding mampu mengubah pendirian pengundi atau sekadar mengukuhkan keputusan yang telah dibuat.
#PRNMelaka2026 #MelakaMemilih #PolitikMelaka #BeritaAAC #AnalisisPolitik