KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar hari ini tampil membidas maklum balas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung isu pengurangan bayaran premium tanah bagi bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Menurut Gulam Muszaffar dalam satu kenyataan media hari ini, jawapan balas yang diberikan oleh Ahli Parlimen Segambut itu disifatkan sebagai meleret dan mencampuradukkan perkara yang tidak berkaitan dengan persoalan asal yang dibangkitkan.
Beliau mempersoalkan kewajaran Hannah mengaitkan isu berkenaan dengan hal-hal lain seperti beg pasir, bazar Ramadan, kolam takungan serta mempertikaikan fungsi pemimpin UMNO dan PAS yang membangkitkan isu bayaran premium RM1,000 daripada jumlah asal RM4.67 juta tersebut.
Gulam Muszaffar menjelaskan bahawa persoalan yang dikemukakan sebenarnya mudah, iaitu rakyat ingin mengetahui kaedah pengiraan serta kriteria yang melayakkan KLSCAH menerima keistimewaan kadar premium berkenaan.
Tegasnya, pertanyaan itu dibangkitkan bukan atas dasar perkauman, sebaliknya demi menuntut keadilan buat semua bangsa agar keistimewaan serupa dapat diperluaskan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum Melayu, India, Sikh dan lain-lain yang memenuhi kriteria sama, seperti Bangunan Rumah Kelab VIOBA.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Hannah agar menjawab setiap persoalan yang timbul secara ilmiah dan profesional sebagai seorang menteri, bukannya melatah atau mudah melenting apabila ditegur.
Gulam Muszaffar menegaskan bahawa tindakan pemimpin UMNO dan PAS membangkitkan perkara tersebut adalah sebahagian daripada peranan semak dan imbang terhadap dasar serta tindakan kerajaan, memandangkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Wilayah Persekutuan didakwa gagal memainkan peranan tersebut.


Beliau turut membandingkan reaksi Hannah yang didakwa tidak pernah melenting apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempertikaikan projek perumahan MADANI membabitkan pembinaan 17,000 unit rumah di Bukit Jalil sebelum ini.
Menurutnya, perbezaan layanan itu jelas menunjukkan wujudnya sikap pilih kasih atau double standard memandangkan Teresa Kok berasal daripada parti yang sama, berbanding jika isu serupa dibangkitkan oleh pemimpin UMNO atau PAS yang sering dilabel sebagai rasis.
Mengulas lanjut mengenai status bangunan KLSCAH, Gulam Muszaffar mengingatkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2007 merupakan pihak yang mewartakan bangunan tersebut sebagai bangunan warisan di bawah perlindungan Akta Warisan Negara 2007, bukannya parti DAP.
Tambah beliau, sepanjang pentadbiran BN sehingga tahun 2018, kerajaan tidak pernah berhasrat menukar status kegunaan tanah bangunan itu daripada komersial kepada institusi kerana kedudukannya sebagai tapak warisan dan nilai sejarahnya sudah terjamin, selain turut diperjelaskan di bawah pengezonan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).
Justeru, beliau meminta agar pihak berkaitan memberikan penjelasan yang terus terang dan tepat tanpa perlu memutarbelitkan fakta semata-mata untuk menghalalkan tindakan yang telah diambil.
#BeritaAAC #IsuKLSCAH #UMNO #HannahYeoh #KualaLumpur