KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk tampil memberikan penjelasan tuntas berhubung isu pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Menurut Armand Azha dalam satu kenyataan hari ini, persoalan utama yang dibangkitkan rakyat adalah mengenai formula pengiraan serta kriteria yang membolehkan premium tanah bernilai RM4.67 juta itu dikurangkan kepada hanya RM1,000. Beliau mempersoalkan sama ada keputusan tersebut dibuat berlandaskan prinsip tatakelola yang baik, ketelusan dan integriti.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan bukanlah sentimen perkauman, sebaliknya menyentuh soal kesaksamaan dasar kerajaan dalam memberikan keistimewaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Menurutnya, peluang yang sama wajar diberikan kepada organisasi Melayu, India, Sikh dan kaum-kaum lain yang mempunyai nilai warisan serta sejarah yang setara.
Sehubungan itu, Armand Azha mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kadar pembaharuan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada semua tanah dan bangunan berstatus warisan di Wilayah Persekutuan. Cadangan tersebut termasuk melibatkan kawasan Kampung Baru dan kampung-kampung tradisi lain yang mempunyai nilai sejarah serta identiti masyarakat tempatan.
”Warisan bukan sekadar soal nilai komersial tanah, tetapi melibatkan sejarah, identiti dan kelangsungan hidup masyarakat yang telah lama bertapak. Jika KLSCAH boleh diberikan pertimbangan sedemikian, mengapa tidak diperluaskan secara adil kepada semua pihak yang layak?” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Hannah Yeoh bahawa UMNO dan BN mempunyai hak serta tanggungjawab untuk memainkan peranan sebagai semak dan imbang (check and balance) terhadap dasar kerajaan. Beliau menasihatkan menteri berkenaan agar menjawab persoalan secara profesional dan berlandaskan fakta tanpa cepat melenting apabila keputusan kerajaan dipersoalkan.
Mengulas lanjut mengenai status bangunan tersebut, Armand Azha memaklumkan bahawa Bangunan KLSCAH telah pun diwartakan sebagai bangunan warisan sejak tahun 2007 ketika era pentadbiran Barisan Nasional. Justeru, beliau mempersoalkan keperluan menukar status kegunaan tanah berkenaan daripada komersial kepada institusi serta kedudukannya di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan hak KLSCAH untuk menerima pertimbangan kerajaan, namun menuntut prinsip keadilan diamalkan secara menyeluruh. Beliau berkata rakyat kini mahukan jawapan yang jelas bersertakan dokumen dan fakta, bukannya sekadar retorik politik.
#BeritaAAC #IsuKLSCAH #Tatakelola #HannahYeoh #BNSelangor