KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) hari ini menggesa pihak bertanggungjawab untuk tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung status penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Dato’ Sri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan media berkata, gesaan itu dibuat susulan kenyataan Tony Pua yang mendakwa minit mesyuarat berkenaan telah dinyahklasifikasikan, selain turut berkongsi beberapa halaman yang dikatakan sebahagian daripada dokumen tersebut.
Menurut Azalina, isu berkenaan menimbulkan tanda tanya memandangkan Menteri Dalam Negeri sebelum ini menyatakan di Dewan Rakyat pada 12 November lalu bahawa beliau bersedia membawa cadangan penyahklasifikasian itu kepada Jemaah Menteri.
Malah, jurucakap Kerajaan selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November memaklumkan bahawa cadangan tersebut belum lagi dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat itu, dan prosesnya masih sedang diatur dengan mengambil kira keperluan undang-undang.
Mengulas lanjut mengenai aspek perundangan, Azalina menjelaskan bahawa bagi mana-mana dokumen yang berstatus rahsia rasmi, keputusan untuk mengelaskannya semula hendaklah dibuat oleh pihak yang berkuasa di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] mengikut tatacara yang terpakai.
Justeru, susulan perkongsian dokumen berkenaan kepada umum, UMNO menuntut penjelasan terperinci daripada pihak berwajib mengenai tiga perkara utama.
Pertama, UMNO mempersoalkan status pengelasan semula dokumen tersebut sama ada minit berkenaan benar-benar telah dikelaskan semula secara rasmi, dan jika ya, bilakah keputusan itu dibuat serta siapakah individu yang membuat keputusan berkenaan.
Kedua, parti itu menuntut penjelasan mengenai asas kuasa yang digunakan, tatacara yang dipatuhi serta tujuan sebenar di sebalik tindakan pengelasan semula dokumen tersebut.
Ketiga, UMNO turut meminta pengesahan berhubung skop dokumen, iaitu sama ada salinan yang sedang beredar kepada umum itu sepadan dengan rekod rasmi kerajaan, serta sama ada pengelasan semula itu meliputi keseluruhan minit termasuk lampiran berkaitan atau hanya melibatkan bahagian tertentu sahaja.
Dalam pada itu, Azalina menegaskan bahawa sebarang usaha ke arah ketelusan dalam pengendalian rekod Lembaga Pengampunan mestilah berjalan seiring dengan pematuhan undang-undang yang sedia ada.
Beliau turut menekankan pendirian parti yang sentiasa menghormati kedudukan Lembaga Pengampunan serta menjunjung tinggi kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.


#BeritaAAC #UMNO #LembagaPengampunan #NajibRazak #PolitikMalaysia