KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER 2022 – Malaysia telah menerima pengiktirafan daripada pihak United Nations Office for Outer Space (UNOOSA) sebagai antara negara contoh dalam pembangunan perundangan angkasa di rantau Asia Tenggara lanjutan daripada pewujudan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834].

Akta 834 telah dikuatkuasakan pada 4 Ogos 2022 dan lanjutan daripada pewujudan Akta ini, maka Lembaga Angkasa Malaysia telah ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan angkasa yang tertentu dan perkara yang berkaitan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba berkata, “Bagi melaksanakan penguatkuasaan Akta 834 dan bertindak sebagai Setiausaha Eksekutif kepada Lembaga Angkasa Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) pada bulan Julai 2022.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian sambutan Minggu Angkasa Sedunia atau World Space Week yang ke-22 bertemakan ‘Space and Sustainability atau ‘Kelestarian Angkasa’ di sini hari ini.

Tidak dinafikan, teknologi angkasa juga telah memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan, antaranya:

i. MYSA telah membangun dan mengoperasikan 48 sistem aplikasi yang dimanfaatkan oleh lebih 80 agensi pengguna dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perikanan, perhutanan, sumber asli dan alam sekitar serta pemantauan tanah.

ii. Sektor pertanian – teknologi angkasa telah dimanfaatkan oleh 37,916 pesawah padi seluruh negara, dan meningkatkan 57 peratus kecekapan memantau tanaman padi serta meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi baja dan racun kerajaan sehingga 30 peratus

iii. Sektor perikanan –  teknologi angkasa ini telah meningkatkan hasil tangkapan nelayan sebanyak 30 hingga 50 peratus yang memberi manfaat kepada kira-kira 30 ribu nelayan seluruh negara

iv. Teknologi angkasa khususnya satelit remote sensing digunakan untuk mencerap imej dan maklumat muka bumi terkini yang penting untuk membantu pengurusan bencana terutamanya semasa musim tengkujuh

Sempena Minggu Angkasa Sedunia, MOSTI melalui Planetarium Negara telah merangka program-program menarik untuk pelbagai lapisan masyarakat bermula 4 hingga 10 Oktober 2022. Pelancaran Minggu Angkasa Sedunia pada kali ini menjadi lebih signifikan apabila pada masa yang sama, sambutan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 bagi bulan Oktober turut bertemakan ‘Angkasa. Inisiatif ini diharap dapat menyemai aktiviti pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan Keluarga Malaysia serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan STI dalam usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba menyatakan keyakinan penuh bahawa penganjuran program Minggu Angkasa Sedunia pada kali ini akan dapat meningkatkan pengetahuan, minat dan seterusnya menyumbang kepada peratusan pernilihan bidang pengajian dan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di seluruh negara dalam jangka masa panjang.

“Keperluan pembangunan bakat dalam aliran sains dan teknologi adalah amat mendesak kerana bakal wujudnya pasaran kerja baharu berasaskan sains dan teknologi pada masa hadapan. Oleh yang demikian, peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang STI seharusnya tidak dilepaskan dan secara tidak langsung, usaha tersebut bakal melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi menjelang abad yang ke 21,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.

Inisiatif MOSTI terhadap penganjuran ini juga bertujuan untuk menyemarakkan pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi atau ringkasnya STIE yang telah ditetapkan dalam teras kelima Dasar Sains, Teknologi, Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN 2021-2030).

Bagi memeriahkan lagi program Minggu Angkasa Sedunia bersempena dengan Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022, Planetarium Negara seawal 12 April telah melaksanakan pelbagai program secara fizikal dan dalam talian. Antara program yang dijalankan adalah Pertandingan Video Pendek Kelestarian Angkasa anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Siri Webinar Bicara Planetarium, dan Pameran Maya Kesatria Angkasa. Penglibatan jaringan kerjasama rakan strategik Planetarium Negara turut menyumbang kepada pengisian program tersebut agar berupaya untuk menembusi pelbagai kumpulan sasar secara kreatif dan interaktif melalui medium penyampaian terkini.

Leave a Reply