AMPANG – Dalam suasana yang dibaluti keindahan alam dan getar kasih sejati, pasangan selebriti popular tanah air, Fattah Amin dan Amira Othman, diraikan dalam majlis eksklusif The Garden of Love FATTMIRA, yang berlangsung di Ukays Hills, Bukit Antarabangsa.

Majlis anjuran Usanita Sdn Bhd itu bukan sekadar sambutan untuk pasangan pengantin baharu ini, malah turut menjadi detik bersejarah apabila lagu runut bunyi rasmi (OST) kepada telefilem “Poskad Cinta Dari Auckland” yang bertajuk “Always Will”, dilancarkan secara rasmi.

Lagu ciptaan Ajai dan dinyanyikan sendiri oleh Amira Othman itu turut dipersembahkan secara langsung buat pertama kali di hadapan tetamu.

Menampilkan tema taman romantik yang seakan diangkat dari naskhah cinta klasik, majlis itu turut dihadiri peminat bertuah pemenang daripada cabaran TikTok, portal Gempak serta pendengar setia radio ERA menjadikan suasana lebih intim dan eksklusif, menyatukan selebriti dan peminat dalam satu memori manis.

Segmen paling menyentuh hati ialah “FATTMIRA Love Story” di mana pasangan ini berkongsi detik-detik awal perkahwinan yang kini menjadi inspirasi ramai.

Dalam nada bersahaja namun penuh makna, Amira meluahkan rasa syukur atas kehadiran Fattah dalam hidupnya sebagai seorang suami yang matang, tenang dan penyayang.

“Fattah tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan. Saya percaya Allah tahu betapa baiknya dia, dan saya doakan yang terbaik buatnya,” kata Amira, sambil tersenyum penuh rasa cinta.

Fattah pula membalas dengan ungkapan yang ringkas namun cukup mendalam, menyatakan harapan agar jodoh mereka kekal hingga ke syurga.

“Saya selalu cakap, isteri syurga. Itulah doa saya buat Mira semoga jodoh kami sampai syurga,” kata Fattah yang kini dilihat sebagai ikon suami idaman ramai.

Sementara itu, Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana berkata, pelancaran lagu “Always Will” ini menandakan permulaan era baharu bagi Usanita Entertainment, cabang kreatif Usanita Group di bawah platform penstriman digital Usanita TV (UTV).

“Hari ini bukan hanya tentang meraikan cinta Fattah dan Amira. Kita juga mengumumkan pelancaran rasmi OST telefilem Poskad Cinta Dari Auckland sebuah karya tempatan yang telah mencatat lebih 20.1 juta tontonan hanya dalam masa kurang dua bulan,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian ini membuktikan bahawa kandungan tempatan masih relevan dan mendapat tempat di hati penonton tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Ajai yang bertanggungjawab mencipta lagu “Always Will” berkata bahawa lagu terbabit diinspirasikan terus daripada jalan cerita dan suasana penggambaran telefilem berkenaan.

“Saya menulis lagu ini dengan membayangkan emosi dalam cerita. Saya tahu keupayaan Amira, jadi saya sesuaikan melodi dengan warna vokalnya yang unik dan merdu,” katanya.

Antara yang turut mencuri perhatian ialah persembahan nyanyian Irfan Haris dan Nadeera Zaini yang membawakan lagu terbaharu mereka, menambahkan lagi warna romantis pada acara istimewa itu.

Majlis yang dikendalikan oleh dua figura terkenal, Awal Ashaari dan Yasmin Hani, menyatukan suasana hiburan, cinta dan penghargaan terhadap seni dalam satu bingkai memori yang pasti dikenang.

Disutradarai oleh Izuan Mokhtar, telefilem Poskad Cinta Dari Auckland membawa penonton mengembara ke bumi New Zealand, mengikuti kisah dua jiwa yang dipertemukan oleh sekeping poskad yang tersalah alamat.

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan Izuan Mokhtar sendiri, naskhah ini menggabungkan elemen cinta, takdir dan kekeluargaan dalam satu naratif yang sarat emosi.

Telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif melalui aplikasi Usanita TV (UTV) platform penstriman digital yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar kandungan tempatan.

By Cynthia

Leave a Reply