KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2025  – Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial (SEKPUR), Shahbudin Embun, menyatakan sokongan penuh terhadap laporan polis yang dibuat oleh Ismail Bangsawan dari Perlis Reform di Balai Polis Beseri, Padang Besar, berhubung isu rakaman suara yang dikaitkan dengan Menteri Besar Perlis.

Menurut Shahbudin, rakaman suara yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu mendakwa kononnya suara tersebut milik Menteri Besar Perlis yang dikatakan mengkritik serta menyentuh nama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Permaisuri.

“Jika benar seorang pemimpin negeri boleh mengkritik institusi Raja, ini adalah satu perkara amat serius dan boleh menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu. Kami menyeru pihak polis serta Bukit Aman mengambil tindakan segera,” tegas beliau.

Shahbudin turut menegaskan, kes ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia melibatkan institusi Raja yang sangat dihormati rakyat Malaysia, khususnya rakyat Perlis. Beliau menggesa Peguam Negara untuk mengambil tindakan tegas tanpa dipengaruhi sebarang keputusan politik.

“Jika terbukti ada asas, tindakan di bawah Akta Hasutan 1960 boleh diambil kerana ini melibatkan kedudukan dan martabat Raja-Raja Melayu yang wajib dipelihara,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa SEKPUR bersama seluruh anggotanya akan terus memantau isu ini agar tidak menjejaskan keharmonian rakyat dan hubungan dengan institusi Raja.

“Sebagai anak jati Perlis, saya berasa sedih dan pedih jika benar perkara ini berlaku. Pemimpin negeri wajib mengimbangi kepentingan politik dengan rasa hormat terhadap Raja-Raja Melayu,” tambahnya.

#Perlis #MBPerlis #InstitusiRaja #RajaMelayu #SEKPUR #PerlisReform #AktaHasutan #IsuSemasa #PolitikMalaysia #DaulatTuanku

Leave a Reply