KOTA TINGGI, 30 OKTOBER 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) hari ini melancarkan Program Konsultasi dan Perkongsian Ilmu di SMK Tun Habab, Kota Tinggi Johor.

Program ini merupakan salah satu usaha YIM dalam memperluas dan menggalakkan penciptaan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah menengah sekali gus menyeramakkan minat komuniti luar bandar terhadap Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, “Program Konsultasi dan Perkongsian Ilmu anjuran YIM ini bertujuan untuk berkongsi ilmu mengenai pembangunan produk inovasi.”

Tambahnya, “Program ini turut melibatkan kerjasama daripada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). Kelak, program ini akan diperluaskan ke dua (2) buah sekolah lagi dengan sasaran penglibatan seramai 200 orang pelajar.”

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Sharmila Mohamed Salleh, “Pemilihan SMK Tun Habab sebagai lokasi pelancaran adalah sebagai tanda penghargaan kepada sekolah ini yang akan mewakili Malaysia ke Pameran Sains dan Reka Cipta Antarabangsa (ISIF) 2022 di Universiti Ganesha, Bali, Indonesia.”

Menurut beliau lagi, “YIM turut menjemput beberapa inovator akar umbi untuk berkongsi idea dan pengalaman kepada peserta yang akan menyertai ISIF 2022. Ini termasuklah bekas penerima geran MyIS Akar Umbi YIM, Prof. Madya Dr. Syahidawati Shahwan yang merupakan inovator Permainan Interaktif Muamalat (MIG) yang turut berkongsi pengalaman beliau membawa produk inovasi MIG ke peringkat antarabangsa.”

Leave a Reply