Peranti pintar bantu pelajar dari golongan kurang berkemampuan untuk ulangkaji mata pelajaran di sekolah dan rumah
KOTA TINGGI, 31 OKTOBER 2022 – Dalam usaha untuk meningkatkan agenda literasi digital negara atau celik teknologi maklumat (IT) sehingga ke peringkat akar umbi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Program Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Bersama Masyarakat.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “Rakyat perlu mengikut perkembangan teknologi digital semasa dan penguasaan literasi digital adalah penting bagi membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.”
“Literasi digital yang pada hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal kita hadapi pada masa depan. Malah, pada masa itu pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis,” katanya.
Tambah beliau lagi, Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia yang dibangunkan oleh YIM yang terletak di Bandar Tenggara Kota Tinggi dan PKD Layang-Layang turut memberi peluang kepada semua pihak termasuk pelajar sekolah rendah untuk bergiat aktif di dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Lebih banyak idea STIE yang menarik dan berdaya maju diperlukan melibatkan teknologi automasi, pembelajaran mesin dan data raya (big data), kepintaran buatan (AI), teknologi robotik serta Internet benda (IoT) sehingga mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat,” ujar beliau.
Sebanyak 15 peranti pintar yang telah diubahsuai oleh YIM hasil sumbangan Colgate-Palmolive Malaysia telah disampaikan kepada 15 orang pelajar kurang berkemampuan dari SJKT (T) Ladang Pelepah, Kota Tinggi bagi membantu mereka mengulangkaji mata pelajaran di sekolah dan di rumah.
Inisiatif ini merupakan salah satu daripada Kempen ‘E-Waste Superhero ’ YIM dengan kerjasama Colgate Palmolive Malaysia yang mana peranti pintar yang tidak lagi digunakan, diberikan kepada kepada YIM dan diubahsuai semula sebelum diserahkan kepada pelajar bagi mengembangkan potensi dan bakat dalam kalangan dibimbing agar setanding dengan murid arus perdana.