Oleh : Raja Annuar Adnan
Apabila BN memilih untuk bersama PH membina kerajaan, bermakna BN sedia bekerjasama atau berganding bahu bersama musuh politiknya PH meredah segala macam cabaran yang bakal ditempuhi.
Bukan mudah membina satu ikatan yang baik di antara dua parti yang secara tradisinya bermusuhan sekian lama. Tanpa ‘chemistry’ agak mustahil kerajaan perpaduan mampu bertahan.
Musuh-musuh politik PH dan UMNO sudah pasti mahu melihat gandingan ini berakhir dengan kegagalan.
Siapa pernah menyangka bahawa gandingan PH-BN kini terjalin. Sudah pasti YAB Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim mengharapkan sesuatu dari BN yang punya lebih 60 tahun pengalaman mentadbir negara.
Bak kata pepatah, ikan di laut, asam di darat, yang dianggap mustahil kini boleh bersatu jua apabila Anwar yang memimpin PH bersama DS Zahid Hamidi yang menerajui BN.
Lebih menarik, kedua-dua sosok ini iaitu Anwar dan Zahid pernah dalam team yang sama menyanggah pendekatan Tun Mahathir. Kita mula kenal erti nepotisma dan kronisma di bawah Mahathir.
Zahid pernah ditahan di ISA kerana kelantangannya membawa suara Anwar. Malah Zahid juga terpaksa melepaskan kerusi Ketua Pemuda UMNO atas sebab yang sama.
Kedua-dua mereka iaitu Anwar dan Zahid memusuhi Mahathir sejak dulu sehingga kini. Maka tidak hairanlah jika hubungan antara Anwar-Zahid tampak intim.
Sebagaimana yang di nyatakan tadi, tanpa ‘chemistry’ yang baik agak mustahil Kerajaan Perpaduan mampu bertahan. Namun tiada siapa menyangka bahawa hubungan baik antara Anwar dan Zahid yang sebelum ini dikecam rupanya tuah pada negara.
Dalam situasi sekarang Anwar amat memerlukan khidmat Zahid dalam kerajaan. Kita sedia maklum bahawa Anwar lama dipenjara. Setuju atau tidak, Anwar ketinggalan dalam banyak perkara yang berhubung kait dengan soal pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya ketika BN tewas dalam PRU-14, Zahid memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri. Zahid juga pernah menerajui beberapa kementerian lain. Lantas tidak boleh kita nafikan bahawa khidmat Zahid begitu diperlukan Anwar. Selayaknya lah maka Zahid, Presiden UMNO, harus diangkat sebagai timbalan beliau.
Pasti ada yang tidak bersetuju kerana Zahid masih berhadapan dengan 42 pertuduhan. Masih ada 42 kes yang Zahid hadap walaupun sudah bebas dari 40 pertuduhan.
Kita perlu sedar bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Zahid adalah pertuduhan politik. Kita dimaklumkan bahawa 87 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya hanya lah pertuduhan politik.
Mahathir kecewa terhadap Zahid yang ingkar pada desakannya agar UMNO dibubarkan. Atas sikap amarah dan dendam Mahathir, maka Zahid mahu dipenjarakan sebagaimana yang dikenakan terhadap DS Najib Razak.
Demi kestabilan politik, Zahid wajib diangkat kembali. Anwar juga turut bergantung kepada kestabilan UMNO. Seandainya UMNO dibiarkan bergolak maka kedudukan Anwar sebagai PM juga tidak selamat.
Kita tahu bahawa ada sekumpulan kepimpinan dalam UMNO yang begitu kepinginkan kerusi Presiden. Mereka begitu konsisten menggugat Zahid. Mereka condong ke arah Parti Perikatan Nasional (PN) berbanding PH.
Seandainya mereka berjaya merampas kerusi Presiden, tidak mustahil mereka akan menarik balik sokongan terhadap Anwar dan Kerajaan Perpaduan dan beralih kepada PN.
Namun seandainya Zahid diangkat oleh Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka serangan terhadap Zahid boleh diredakan. Kita pernak lihat betapa berkuasanya DS Ismail Sabri ketika beliau menjadi PM apabila sekumpulan pemimpin UMNO berpihak kepadanya menggoncangkan Zahid.
Win win situation, dengan perlantikan Zahid sebagai TPM, maka kedudukan Anwar sebagai PM boleh bertahan lama dan Zahid kurang diancam dalam pemilihan kepimpinan parti.
Apakah Anwar hanya mahu bertahan setahun dua sebagaimana tiga PM sebelum ini atau mahu kekal sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal?
Pada YAB DS Anwar Ibrahim, tepuk dada tanya selera.
RAJA ANNUAR ADNAN
27 November 2022