KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan akan terus memantau aktiviti dan kegiatan penjawat awam khususnya di pejabat tanah dan galian negeri dan persekutuan.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata PPIM bersama rakan-rakan NGO lain dan lebih 1 juta ahli mereka akan memastikan semua penjawat awam menjalankan tugas dan amanah tanpa rasuah.
“Perkara ini amat penting kerana dengan barisan kabinet baharu, kami lihat ada langkah mengecilkan kawasan politik orang melayu, bumiputera dan meluaskan kawasan pengundi bangsa lain,” tegasnya.
Perkara ini dianggap serius kerana jika kawasan pengundi Melayu kurang, maka tidak mustahil orang melayu akan hilang kuasa di tanahair sendiri.
“Buat masa sekarang kita ada kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong dan rakyat masih berteduh dibawah pemerintahan baginda, tetapi tidak mustahil satu masa nanti apabila orang melayu menjadi minoriti di Parlimen, undang-undang boleh digubal tanpa mengambil kira kepentingan orang melayu di negara ini,” katanya.
PPIM menegaskan semua rakyat Malaysia harus diberi peluang yang sama namun kedudukan dan keistimewaan orang melayu jangan diusik.
“Kita telah mengarahkan ahli seluruh negara memantau aktiviti pembangunan di kawasan mereka, bagi ahli yang juga penjawat awam, mereka bersedia melaporkan kepada kami segala salah laku yang dibuat oleh rakan sejawat mereka,” katanya.
Nadzim mengingatkan penjawat awam agar tidak memandang remeh perkara ini dan mengelakkan rasuah kerana perbuatan itu boleh menyebabkan rakyat kehilangan negara.
“ Banteras rasuah di semua peringkat, jangan bagi muka kepada perasuah, elakkan kita menjadi pengemis di bumi sendiri,” tegasnya.