Masih ramai khasnya di kalangan penyokong PN yang mempersoalkan kredibaliti Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai TPM 1 oleh YAB Perdana Menteri malam tadi. Alasan yang dituduh kerana Presiden Umno terpalit dengan kes kes di Mahkamah. Saya rasa terpanggil untuk menjawab perkara ini apatah lagi saya merupakan salah seorang AJK Umno Bahagian Bagan Datuk.

Kesemua kes yang dibuat ke atas Dato Zahid hanya dilakukan selepas beliau enggan membubarkan UMNO setelah diminta oleh PM 7 dahulu. Buktinya jelas kita boleh baca dari laporan di dalam media. Adakah Dato Zahid akan di dakwa dengan sebegitu banyak andai beliau membubarkan UMNO pada tahun 2018 dahulu. Sudah pasti tidak.

Berapa ramai pimpinan UMNO dan BN yang meninggalkan parti pada tahun 2018 dan 2019 dahulu selepas PRU 14 akibat ugutan dan tekanan. Tidak perlu saya jelaskan satu persatu dan siapa mereka. Tetapi kini alhamdulillah, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi menghalang lompat parti.

Dato Zahid adalah Presiden parti yang sah dan masih berkuasa. Jika PN nak memerintah, tetap Dato Zahid wajib diberi tempat. Adakah pada waktu itu Dato Zahid bakal dipuji pula oleh PN dan yang lain.

Sebagai Presiden Parti, Dato Zahid wajib diberi tempat sebagai TPM bagi memastikan kestabilan di dalam UMNO dan BN. Jika UMNO dan BN tidak stabil, maka kerajaan perpaduan ini juga akan goyah dan banyak usaha yang baik akan terganggu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam sudah pun melepaskan dan membebaskan 40 tuduhan berkaitan UKSB terhadap Presiden kami. Alasan penghakiman oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam cukup tebal dan terperinci bagi menunjukkan tiada kes terhadap beliau.

Dato Zahid masih membela kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan beliau tidak pernah mengarahkan mana mana pihak untuk menggugurkan kesnya. Beliau yakin dan percaya kepada keadilan proses perundangan di dalam negara ini. Bahkan, selagi dia tidak dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah, maka beliau masih kekal tidak bersalah.

Baik Dato Seri Anwar mahupun Dato Seri Zahid, keduanya pernah memegang jawatan penting dan utama dalam negara. Maka pengalaman yang ada ini sangat penting untuk memulihkan ekonomi negara, membantu dan menjaga kebajikan rakyat serta menyatupadukan hubungan sesama anak watan.

Perancangan dan rahsia Allah memang di luar ilmu hambanya. Yang kalah tak semestinya kalah semua, yang menang tak semestinya menang semua. Allahuakbar, besarnya kuasa Allah yang esa. Yang penting jawatan adalah amanah dan bukannya kemuliaan semata mata.

Faisalludin Bin Mohamat Yusuff
AJK UMNO Bahagian Bagan Datuk

Leave a Reply