Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan. MHO telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan bagi membantu semua pihak dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman. Ini juga bertepatan dengan Perkara 3 ‘Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) di mana ia menekankan bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri. Perkara ini turut disokong di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di dalam Perkara 5 dan Perkara 8 di mana ia telah menyatakan bahawa setiap orang di negara mempunyai hak dan mereka adalah sama di sisi undang-undang.

Baru-baru ini pihak MHO telah menerima aduan dimana dimaklumkan bahawa seramai lebih kurang 80 orang telah ditipu di dalam satu skim pelaburan dan pelaburan ini bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020. Rata-rata yang menjadi mangsa kepada skim pelaburan ini pula adalah terdiri daripada warga emas yang mana majoritinya adalah berbangsa cina.

Pihak MHO dimaklumkan bahawa mereka yang menjadi mangsa tersebut telah diperdaya oleh agen-agen pelaburan tersebut dan ditawarkan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17% sebulan. Apabila ditanyakan kepada mangsa-mangsa bagaimana boleh terpedaya di dalam skim pelaburan ini mereka menyatakan bahawa mereka tertarik dengan tawaran pulangan yang tinggi dan ketika itu kebanyakan mereka berada pada tahap susah dan tidak bekerja semasa PKP.

Perjalanan skim pelaburan tersebut ialah apabila pelabur telah membuka akaun pelaburan mereka akan diberikan suatu akaun dimana perlu menjalankan transaksi pelaburan di platform tersebut dan di platform tersebut para pelabur turut diberikan modal dalam bentuk matawang crypto “usdt” mengikut jumlah pelaburan yang dimasukkan dan semua transaksi pelaburan dijalankan menggunakan matawang crypto “usdt tersebut. Modus operandi pelaburan dalam talian tersebut dimana pelabur perlu membuat bayaran insuran bagi modal yang akan dilaburkan bagi memastikan modal pelaburan tersebut selamat dan tidak hilang dan sekiranya pelaburan mereka menguntungkan, sebahagian keuntungan mereka tersebut harus dibayar kepada syarikat tersebut.

Seterusnya pada sekitar bulan Julai dan Ogos tahun 2022 pelabur telah diarahkan oleh syarikat tersebut untuk membuat penambahan modal dan sekiranya mereka gagal, akaun pelaburan dan modal pelaburan mereka akan ditutup dan hangus. Setelah mereka membuat pembayaran malangnya pada 15th Ogos 2022, pelabur dimaklumkan bahawa platform syarikat tersebut telah ditutup sepenuhnya dan akaun pelaburan mereka tidak lagi boleh diakses dan setelah bertanyakan tentang penutupan akaun pelaburan mereka dimaklumkan bahawa platform tersebut mempunyai masalah dan memohon diberi sedikit masa bagi menjelaskan duit modal dan keuntungan tersebut tetapi sehingga sekarang para pelabur tidak menerima apa-apa pembayaran.

Para pelabur tersebut telah melaburkan banyak wang ringgit kepada syarikat tersebut lingkungan dan serendah RM50,000.00 hingga RM4,000,000.00 seorang. Pihak MHO juga dimaklumkan bahawa ramai di antara mereka telah mengeluarkan wang simpanan peribadi, wang pencen, wang insuran, meminjam Bank serta membiayai semula rumah kepada Bank dan sekarang ini mereka amat kesal kerana telah kehilangan duit tersebut. Pihak MHO juga dimaklumkan ada di antara pelabur tersebut terpaksa meminjam dengan ahlong bagi tujuan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Pihak MHO bersama-sama panel guaman akan cuba memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa penipuan pelaburan tersebut agar kes mereka dapat diketengahkan dan mendapat perhatian pihak berwajib, pada masa yang sama juga supaya dalang-dalang kes penipuan ini dapat dikenakan tindakan undang-undang agar nasib mangsa-mangsa dapat dibela sewajarnya.

Leave a Reply