PUTRAJAYA, 5 Disember 2022 – Mesyuarat Kabinet Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diadakan di Putrajaya pagi ini yang antara lain memberikan penekanan berkaitan perlakuan muat naik bahan yang mengandungi unsur provokatif, menggugat keharmonian dan menyentuh sensitiviti kedudukan institusi beraja, agama dan bangsa (3R – Ruler, Religion & Race) di platform media sosial.
Susulan itu, Menteri Komunikasi Digital, YB Fahmi Fadzil telah mengadakan perjumpaan antara Kementerian Komunikasi Digital, penyedia platform TikTok dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengutarakan kebimbangan dan keseriusan impak negatif daripada kandungan seumpama ini yang tersebarluas dalam kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk, rencam dan harmoni.
Hasil perbincangan ini, pihak TikTok telah menyatakan hasrat dan komitmen untuk menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi Digital melalui SKMM untuk segera membendung dan membanteras penyebaran kandungan berunsur provokatif dan bersifat ekstremis ini di media sosial yang menganggu keharmonian pelbagai lapisan masyarakat dalam negara kita yang tercinta ini.
InshaAllah YB Fahmi Fadzil juga akan mengadakan beberapa lagi siri perjumpaan dengan penyedia platform media sosial yang lain bagi memastikan isu ini ditangani secara holisitik dengan kadar segera.