KUALA LUMPUR, 20 Disember 2022 – Kumpulan Rangkaian Antarabangsa D’Tandoor telah mengadakan Majlis Sambutan Hari OKU Sedunia dan Ulang Tahun yang pertama Restoran ROTI by DTandoor bersama kanak-kanak Sindrom Down dan anak-anak yatim di Restoran ROTI by D’Tandoor, Kuala Lumpur.
Tetamu kehormat, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif Perkeso hadir dan merasmikan majlis tersebut.
Majlis ini adalah satu inisiatif Kumpulan Rangkaian Antarabangsa D’Tandoor yang berganding bahu dengan Yayasan Prihatin Nasional bagi meraikan sambutan Hari OKU Sedunia dengan golongan yang kurang berupaya sebagai tanda kesyukuran dan juga berkongsi kebahagiaan dengan mereka.
Objektif utama majlis tersebut adalah untuk melahirkan masyarakat prihatin dan cakna dengan masyarakat sekeliling serta membuang sifat mementingkan diri dalam kalangan masyarakat. Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Golongan OKU turut terkesan akibat penularan Covid-19, bencana banjir, krisis ekonomi dan ramai dari mereka telah kehilangan pekerjaan. Seramai 100 orang tetamu telah menghadiri dan memeriahkan majlis ini.
Semenjak dibuka 30 tahun yang lalu, D’Tandoor telah mengharungi pelbagai cabaran untuk mencipta nama sebagai pakar masakan India Utara, Arab dan Malaysia yang utama di negara ini. D’Tandoor telah melakar nama sebagai francaisor masakan India Utara yang pertama di Malaysia. Restoran ROTI by Dtandoor juga merupakan salah satu pencapaian D’Tandoor yang harus dijayakan oleh semua warga D’Tandoor bersama dengan semua pihak yang telah memberi sokongan kepada mereka selama ini.
“Kami telah melalui pelbagai cabaran untuk tiba pada saat yang bersejarah ini. Saya ingin merakamkan rasa kesyukuran saya kepada Allah SWT dan pelanggan-pelanggan setia kami yang telah menyumbang kepada kejayaan kami. Saya juga tidak lupa kepada kakitangan saya yang sentiasa memerah kudrat dalam menjayakan operasi D’Tandoor,” kata Datuk Abdul Malik Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan Rangkaian Antarabangsa D’Tandoor.