KUALA LUMPUR, 1 FEBRUARI 2022 – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ini dimulakan dengan semangat kebersamaan dan berganding bahu sesama Keluarga Wilayah. Hari ini Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Sri Dr. Shahidan bin Kassim dan Timbalannya YB Datuk Sri Jalaluddin Alias menyantuni Keluarga Asnaf di Masjid Jamek Kampong Bharu dan seterusnya menyertai para jemaah menunaikan Solat Hajat, Bacaan Yasin serta Doa Selamat.

Selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia, tema Hari Wilayah Persekutuan bagi tahun 2022 iaitu Keluarga Malaysia.

Inisiatif seumpama ini dijadikan sebagai platform bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai budaya kehidupan yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan meskipun negara masih lagi dilanda dengan pelbagai musibah, namun Keluarga Malaysia masih dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

Program Bacaan Yassin, Solat Hajat dan Doa Selamat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 ini adalah sebahagian daripada acara tahunan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran Wilayah Persekutuan serta sebagai salah satu inisiatif Kementerian bagi memohon perlindungan Yang Maha Esa dari pandemik COVID-19 di negara ini.

Terdahulu, Kementerian WP dan JAWI juga menyampaikan sumbangan bantuan wang tunai serta barang keperluan kepada 100 orang asnaf di sekitar Kampong Bahru bagi membantu mereka meringankan beban pasca COVID-19 disamping menerapkan nilai rasa kasih sayang dan prihatin khususnya kepada golongan B40 yang kurang berkemampuan.

Semoga program ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu di Wilayah Persekutuan kerana Agama Islam mengajak manusia supaya bersatu padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturrahim agar Wilayah Persekutuan terus maju dan sejahtera dalam keadaan yang aman dan damai.

Leave a Reply