KUALA LUMPUR, 9 Februari 2022 – Yayasan Wilayah Persekutuan hari ini memberi penerangan yang jelas berhubung Usaha CSR pihak Yayasan Wilayah Persekutuan membantu membaik pulih kerosakan bumbung Rumah Pangsa Taman Melati akibat Hujan ribut yang melanda pada 24 Januari 2022 lalu.
Pihak YWP juga ingin menegaskan bahawa isu “bumbung terbang” di rumah pangsa Taman Melati telahpun diambil tindakan segera selepas Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Y.Bhg Datuk Zaizalnizam Zainun melakukan sendiri tinjauan bersama dengan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Sri Dr. Shahidan Kassim.
Segala perkakas seperti kerangka besi dan bahan-bahan berkaitan untuk membaik pulih 4 blok yang terjejas telah pun dihantar ke lokasi pada Sabtu 29 Januari 2022 lalu. YWP juga telah memastikan barang-barang itu segera dihantar sebaik mendapat stok dari pembekal untuk kerja-kerja pembaikan bumbung dimulakan dengan serta merta. Pihak Kontraktor yang menguruskannya juga telah memulakan kerja-kerja pemasangan ‘canvas’ serta ‘joining’ sebelum tindakan baik pulih bumbung dilakukan secara berperingkat.
Kerja-kerja baik pulih bumbung ini dijangka mengambil masa 3 minggu untuk disiapkan Jika boleh sebelum penghujung Februari 2022 ini.
Sementara menunggu stok bahan pembinaan bumbung sampai secara berperingkat-peringkat, ‘canvas’ telah dipasang untuk sementara waktu. Tetapi malangnya pada 4 Februari 2022 lalu, berlakunya hujan lebat dan ribut yang telah menyebabkan ‘canvas’ tersebut mengalami kerosakan.
Disebabkan itu juga, YWP telah mengambil tindakan pantas menguruskan hal-hal baik pulih dan mengantikan semula kanvas tersebut dengan kadar segera dan perkara ini telah pun dimaklumkan kepada wakil-wakil Persatuan Penduduk yang sentiasa berkomunikasi dengan pihak YWP berhubung kerja-kerja baik pulih ini.
Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Gabungan NGO Flat Taman Melati yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Blok 4B, Tuan Abu Bakar Ismail yang sentiasa berkomunikasi dengan pihak YWP bagi memastikan kerja-kerja baik pulih berjalan mengikut jadual.
Justeru, satu majlis perjumpaan diadakan bersama mangsa ribut Flat Taman Melati bagi penduduk Blok A13,A14,A15 dan A16 untuk memberikan penerangan mengenai status terkini pemasangan bumbung rumah penduduk terlibat yang telah pun dilakukan pada 8 Februari 2022 dan penduduk terlibat mengucapkan terima kasih kepada YWP atas usaha ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut selain Tuan Abu Bakar Ismail ialah Pengerusi MPPWP Sub Zon 1 Wangsa Maju – Tuan Haji Ibrahim Bin Dollah dan Pengerusi Persatuan Penduduk Kawasan 4A Taman Melati, En Mohd. Azhar bin Md Rosdy.
Terdahulu, hari ini YWP turut menyerahkan sumbangan Bakul Makanan kepada 46 buah keluarga yang terjejas. Mereka juga pada 28 Januari 2022 lalu turut menerima sumbangan tunai sebanyak RM250 setiap keluarga yang terjejas akibat Hujan lebat dan ribut yang melanda baru-baru ini.
Pihak YWP bersama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyakarat WPKL juga telah memberikan bantuan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam untuk 200 orang yang terlibat dari semasa ke semasa di Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak Isnin 24 Januari lalu.
Oleh itu, YWP ingin menafikan artikel yang dikeluarkan pada 8 Februari 2022 oleh Malaysia Gazette yang menyatakan bahawa “alasan lewat kerana sambutan Tahun Baharu Cina antara helah diberikan oleh seorang pegawai sebuah Yayasan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi 16 keluarga ini sejak 24 Januari lalu hanya tinggal janji” dan “arahan Menteri Wilayah Persekutuan bagaikan melepaskan batuk di tangga kerana hanya ‘canvas’ sahaja dipasang sedangkan ianya tidak mampu menghalang air hujan dari memasuki ke kediaman penduduk”
YWP sebagai sebuah syarikat korporat yang membantu urusan baikpulih bumbung ini adalah berdasarkan ihsan dari YWP sendiri dan atas rasa tanggungjawab YWP bagi membantu semua warga Wilayah Persekutuan tanpa melihat latarbelakang politik dan kepentingan peribadi.