Seramai 2,356 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar (AIM), bagi Wilayah Selangor/Kuala Lumpur hari ini menerima geran khas Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) yang jumlah keseluruhannya bernilai RM7,068,000.

Geran khas yang merupakan pemberian one off cek bernilai RM3,000 setiap seorang tanpa perlu membayar balik itdisampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tan Sri Noh Haji Omar.

Majlis penyerahan BBKM berkenaan diadakan secara serentak di empat lokasi iaitu di Shah Alam Convention Centre (seramai 921 penerima yang disampaikan oleh YB Tan Sri Noh Omar); 445 penerima di Dewan Puchong Utama, Puchong yang disampaikan oleh Datuk Satim Diman yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Puchong; 586 penerima di Dewan Umno Kuala Selangor yang disampaikan oleh Datuk Jahaya Bin Ibrahim, selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Kuala Selangor dan seramai 404 penerima di Dewan Sri Jugra, yang disampaikan oleh Datuk Zurihan Yusop, Naib Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Kuala Langat.

Majlis turut dibuat secara live telecast di tiga-tiga lokasi berkenaan yang dipancarkan dari dewan utama SACC, di Shah Alam.

Kesemua penerima geran ini merupakan sebahagian daripada 8,859 Sahabat Usahawan AIM yang terkesan akibat banjir yang sudah didaftarkan sebagai penerima BBKM.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Koperasi, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad; Pengerusi Lembaga AIM YB Datuk Shabudin Yahaya; Timbalan Pengerusi Lembaga AIM, En Mohd Najib Mohd Noor; Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) TEKUN Nasional dan barisan pengurusan AIM.

Mohamed Shamir dalam ucapannya berkata, bantuan banjir yang diusahakan oleh YB Tan Sri Noh Omar selaku Menteri KUSKOP ini adalah sangat membantu Sahabat Usahawan AIM yang sedang berusaha untuk bangkit semula dari kemusnahan yang dialami.

“Bagi pihak Amanah Ikhtiar Malaysia, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami khusus buat YB Tan Sri Noh Haji Omar kerana tanpa jemu siang malam, pagi petang memperjuangkan nasib Sahabat-Sahabat Usahawan AIM, tak kira bangsa, agama dan fahaman politik, semua dapat Insyallah.

“Untuk keseluruhan jumlah Sahabat Usahawan yang terjejas ialah seramai 8,859 Sahabat, ini melibatkan peruntukan yang akan disalurkan khusus untuk Sahabat AIM sahaja adalah sebanyak RM23.1 juta,” katanya.

Kesemua penerima BBKM daripada Sahabat Usahawan AIM ini, sebahagian besarnya merupakan Usahawan Informal yang merupakan peniaga gerai dan penjaja di tepi jalan yang mengalami kemusnahan secara total di mana gerai dan premis perniagaan hanyut dibawa banjir.

Ia membabitkan Sahabat Usahawan di Kepong, Cheras, Ampang, Gombak, Puchong, Shah Alam, Sepang, Kuala Selangor, Bandar Laut Selangor; dan Hulu Selangor.

Penyaluran geran BBKM ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan yang memperuntukan sebanyak RM50 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang mana penyaluran bantuan kepada usahawan yang terjejas akibat banjir ini dibuat melalui TEKUN NASIONAL.

Leave a Reply