Majlis Pelancaran Undian Atas Talian Anugerah Telenovela Ke-8 diadakan pada hari Khamis, 24 Mac 2022 jam 3.00-5.30 petang bertempat di Pacific Ballroom, Hotel Pacific, Kuala Lumpur.
Anugerah Telenovela kali ke-8 adalah anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan D’Ayu Pictures Sdn Bhd.
Anugerah Telenovela pada asalnya adalah sub-kategori kepada Anugerah Buku Negara yang mula diperkenalkan pada tahun 2005, dan bermula tahun 2015 Anugerah Telenovela dianjurkan secara berasingan. Anugerah Telenovela telah menjadi acara tahunan yang berprestij bagi mengiktiraf dan meraikan kejayaan warga industri seni kreatif tempatan yang sentiasa menerbitkan karya berkualiti tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran di peringkat global.
Majlis Pelancaran Pengundian Atas Talian Anugerah Telenovela Kali Ke-8 ini) diadakan bagi meneruskan agenda untuk memilih karya-karya adaptasi “Book25creen”, atau novel ke drama, telefilem dan filem serta satu bentuk penghargaan secara langsung buat warga kerja industri yang terdiri daripada anak anak seni dan pemain industri kreatif tempatan. Ini bertepatan dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibukota Buku Dunia oleh UNESCO, atau UNESCO-Kuala Lumpur World Book Capital 2020.
Sebanyak 106 calon telenovela berentap untuk merebut lebih 30 kategori anugerah pada kali ini. Kesemua adaptasi tersebut mestilah ditayang pada tahun sebelum sesuatu penilaian dibuat. Bagi tahun 2020 hingga 2022, karya karya mestilah ditayangkan di televisyen atau stesen satalit atau stesen umum (Free To Air FTA) atau pawagam. Buat masa ini tayangan di laman sosial tidak diterima.