Dalam tempoh 2 hingga 3 bulan kebelakangan ini terdapat beberapa laporan mengenai rakyat Malaysia yang telah ditahan di luar negara dan dipaksa melakukan penipuan dalam talian (Online Scam) oleh sindiket penipuan haram. Pejabat saya juga telah menerima aduan yang sama. Pengadu telah dibantu membuat laporan polis tetapi kita ingin melihat tindakan yang lebih serius oleh pihak polis terhadap isu jenayah terancang ini.

Menurut laporan yang diterima, sindiket ini selain memaksa mangsa melakukan penipuan dalam talian bagi mendapatkan wang, mereka juga turut menuntut wang tebusan daripada mangsa jika ingin dibebaskan.

Saya percaya bilangan sebenar rakyat Malaysia yang diculik di luar negara oleh sindiket ini jauh lebih besar daripada yang dilaporkan. Pihak Polis mesti menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kes-kes ini dan bekerjasama bersama agensi serupa di luar negara bagi menghadapkan penjenayah antarabangsa ini ke mahkamah.

Saya amat memahami keadaan mereka (mangsa) yang terdesak selepas 2 tahun kehilangan pekerjaan akibat pandemik yang panjang dan cuba bangkit semula secepat mungkin. Walaupun bersimpati dengan situasi mereka, saya tetap ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhemat dan berhati-hati dalam menerima tawaran pekerjaan lumayan di luar negara. Mereka berkemungkinan menjadi mangsa penipuan.

Fakta Kes

Menurut Puan Wong Choon Ling, beberapa hari lalu dia menerima panggilan daripada anaknya, Lai, yang kini berada di Kemboja, memberitahu bahawa dia telah ditahan sindiket yang memaksa dia melakukan kerja-kerja penipuan dalam talian dan dia mesti membayar sejumlah RM 20,000 kepada mereka jika ingin pulang ke Malaysia.

Lai, berumur 37 tahun, mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki yang masih kecil. Dia pernah bekerja sebagai DJ di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur tetapi dia kehilangan pekerjaannya semasa PKP.

Oktober lalu, dia bertemu dengan seorang ejen pekerjaan yang menawarkan jawatan sebagai kerani di Kemboja dengan gaji lumayan sebanyak RM 4000 sebulan. Memandangkan dia telah menganggur bagi tempoh yang lama, dia lantas menerima tawaran itu tanpa berfikir panjang dan berlepas ke Kemboja dua minggu kemudian.

Setibanya di sana, barulah dia menyedari bahawa majikannya merupakan kumpulan sindiket penipuan dalam talian. Dia dan mangsa-mangsa lain yang turut ditipu sindiket itu telah dikurung di dalam sebuah bangunan. Kebanyakan mangsa terdiri daripada pelbagai warga negara berbeza dan ramai mangsa merupakan rakyat Malaysia. Dia menyatakan lokasi yang mereka dikurung ada kemungkinan di bandar Sihanoukville tetapi ia tidak dapat disahkan.

Mereka berada dalam ketakutan setelah dipaksa melakukan kerja-kerja penipuan dalam talian. Seorang warga Malaysia berjaya menyelinap keluar untuk mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Kemboja. Tetapi malangnya, selepas meninggalkan Kedutaan, bost kumpulan sindiket itu telah menunggunya di pintu dan membawanya kembali ke tempat kurungan mereka. Jelas ada informan di Kedutaan Malaysia yang bekerjasama dengan sindiket terbabit.

Lai cuba meminta bos sindiket untuk pulang ke Malaysia tetapi diberitahu kontraknya hanya akan tamat pada Julai dan dia perlu membayar pampasan sebanyak RM 20,000 kepada syarikat jika melanggar kontrak. Lai memberitahu dia tidak pernah menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat itu.

Lai memberitahu dia berada dalam ketakutan dan terdesak selain risau akan keselamatan nyawanya ketika dia menghubungi ibunya melalui telefon.

Leave a Reply