Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Alumni Parlimen Belia Malaysia dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) menyambut baik usaha perbadanan PR1MA yang menawarkan lebih 1000 kediaman menerusi skim sewa untuk (RTO) di bawah inisiatif pembiayaan perumahan Malaysia (i-Biaya).
Pengerusi Alumni Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Nadzrin Faiz berkata, usaha ini menunjukkan kecaknaan PR1MA serta pihak kerajaan dalam memastikan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya anak muda untuk memiliki rumah.
“Dengan kadar sewa yang rendah selama lima tahun akan memberikan kelegaan kepada bakal pembeli.
“Umum tahu, pembayaran ansuran akan melibatkan kadar yang besar, tetapi dengan adanya inisiatif ini, ia akan membuka lembaran baharu kepada ramai penyewa kepada pembeli kediaman.
“Kami menyeru semua mengambil peluang keemasan ini. Bakal pembeli adalah warganegara Malaysia, pembeli rumah pertama dan kedua sahaja pendapatan antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan dan berumur dari 21 tahun hingga 70 tahun,” katanya.
PR1MA dengan kerjasama institusi kewangan, Malayan Banking Berhad (Maybank) membuka peluang kepada rakyat golongan M40 menerusi skim ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz minggu lalu semasa pelancaran i-Biaya.
Sebanyak 29 buah residensi PR1MA dengan lebih 1,000 unit ditawarkan melalui Skim PR1MA RTO.
Skim ini menawarkan pelbagai faedah kepada bakal pembeli termasuk kos kemasukan rendah, kos bulanan yang rendah untuk lima tahun pertama, serta harga rumah yang terkawal dan mampu milik.
Pengerusi PR1MA, Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, selari dengan aspirasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menyediakan 500,000 unit rumah mampu milik, PR1MA akan terus mendukung usaha baik Kerajaan dalam membantu Keluarga Malaysia memiliki rumah pertama idaman mereka.
Dalam pada itu, Preaiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd Al-Hafizi Abu Bakar menyambut baik komitmen berterusan PR1MA dalam memacu agenda perumahan nasional dan terus membantu rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan memiliki rumah mampu milik menerudi skim RTO.
“Penyediaan dana oleh kerajaan untuk Rumah Mampu Milik dan skim Perumahan Belia bagi membiayai pembelian rumah pertama yang diperluaskan sehingga hartanah berharga RM500,000 dibawah program RTO ini juga dilihat sebagai usaha pengukuhan pihak kerajaan dalam membantu para belia mendapat hak pembelaan memperoleh keperluan asas perlindungan dan terpinggar dari arus pembangunan Negara. – WacanaKini