PUTRAJAYA : Dr. Mohamad Khir Toyo atau sesiapa pun bebas untuk buat penampilan semula merebut jawatan dalam parti sama ada di peringkat Cawangan mahupun Bahagian apabila tiba musim pemilihan parti nanti.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, parti UMNO tetap mengamalkan dasar demokrasi yang tidak menghalang sesiapa pun ahlinya untuk bertanding merebut jawatan setiap peringkat.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali ke arena politik dan mahu bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang sekarang ini disandang oleh Datuk Sri Jamal Md Yunos.
“Dalam politik masa ini kita bebas, siapa pun yang nak buat ‘comeback’, biarlah ahli parti Bahagian tersebut yang menentukannya.
“Kita tidak menghalang seseorang itu bertanding kerana kita mengamalkan dasar demokrasi, jadi terpulanglah kepada Ahli UMNO Bahagian atau Cawangan tersebut yang menentukannya, katanya kepada wartawan selepas Majlis Iftar anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Hotel Everly Putrajaya.
Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini telah memutuskan bahawa pemilihan UMNO akan dilakukan selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) kelak dimana perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini telahpun meluluskan usul pemilihan parti ditangguhkan selepas PRU-15 nanti.