KUALA LUMPUR 20 Mei 2022 : Kerajaan perlu membuat semakan semula harga Gula memandangkan terdapatnya kenaikan kos ketika ini, kata Pengeluar Gula Terbesar Negara ketika Sidang Media di Majlis Hari Raya Aidilfitri MSM Berhad di Menara FELDA disini hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Tuan Syed Faizal Syed Mohammad, harga Gula wajar disemak semula oleh Kerajaan selepas kenaikan harga 1 sen dilakukan sejak tahun 2011.
Beliau berkata, Industri gula ketika ini menghadapi tekanan kos yang meningkat melebihi 30%, bukan sahaja gula mentah tetapi juga kos penghantaran barang (fret), tenaga gas dan Kadar Tukaran Asing (Forex). Memandangkan tekanan kos-kos ini meningkat, adalah wajar kerajaan menyemak semula harga Gula.
Beliau menambah, kenaikan harga gula ini adalah untuk segmen pengguna bagi satu kilogram dan bukannya membabitkan industri restoren. Kesan kenaikan ini dijangka tidak mempunyai kesan kepada isi rumah memandangkan setiap isi rumah menggunakan kira-kira 1 kilogram sahaja setiap bulan, katanya lagi.
Harga Gula dipasaran Thailand adalah RM3.50 sekilogram, manakalah di Singapura pula adalah RM5.90 sekilogram. Harga Gula di pasaran Malaysia adalah antara terendah di Asia Tenggara ini iaitu pada harga RM2.85 sekilogram.
Mengulas mengenai Pemansuhan Permit Kelulusan (AP) seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri baru-baru ini pula, ia tidak memberikan kesan langsung sebagai Pengeluar Gula Tempatan.
Syed Faizal berkata, “Bekalan Gula untuk pengeluaran rakyat masih mencukupi dan tidak perlu di import kerana antara kita (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd apabila digabungkan, kapasitinya adalah kira-kira 2.8 juta tan. Manakala permintaan untuk dalam negara sahaja hanya sebanyak 1.5 juta tan. Jadi, tiada sebab untuk import gula ketika ini, katanya kepada wartawan disini hari ini.
Tambahnya lagi, 2 produk yang dikecualikan daripada pemansuhan AP iaitu beras dan gula. Disebabkan itu juga, sebagai pengeluar tempatan harus memastikan keselamatan makanan untuk negara dijamin.
Oleh yang demikian, pihak industri menyerahkan kepada kerajaan agar mempertimbangkan untuk membuat keputusan semakan harga gula ini sebaiknya.