AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ‘restu’ Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul untuk bertanding di kawasan Sungai Besar pada PRU-15 nanti sekiranya mana-mana Bahagian parti di Selangor menolaknya.
Menurut Datuk Sri Jamal Yunos, UMNO Bahagian Sungai Besar sedia menerima mana-mana pemimpin untuk memberikan bantuan kepada UMNO Selangor khasnya.
Jelasnya lagi, UMNO Selangor sekarang ini memerlukan pemimpin seperti Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Omar dan Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul untuk membantu UMNO Selangor merampas kembali Negeri Selangor setelah 3 penggal ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
“Soal calon biarlah pucuk pimpinan parti yang selesaikan, katanya kepada wartawan ketika Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di kediamannya
“untuk memenangkan Negeri Selangor ini perlukan pengorbanan dan ada yang perlu dikorbankan asalkan dapat merampas kembali Selangor.
“Datuk Sri Tengku Zafrul sangatlah dialukan di Selangor ini bagi membantu serba sedikit program-program yang dijalankan.
Datuk Sri Jamal turut memberikan nasihat kepada kepimpinan Bahagian lain agar tidak ego dan lakukanlah perubahan segera selepas hampir 3 penggal (15 tahun) Barisan Nasional Selangor tidak memerintah Negeri Selangor.
Tambahnya lagi, segala yang sudah berlaku perlu dijadikan pengajaran dan tidak mengulangi kembali kesilapan dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
“Saya memang menawarkan diri untuk menjadi calon Parlimen Sungai Besar, tapi akan berlapang dada jika Tengku Zafrul berminat,” katanya
Datuk Sri Jamal turut memberitahu bahawa sudah tiba masanya UMNO negeri membuat pengumuman awal calon-calon yang bakal akan diketengahkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 agar rakyat kawasan berkenaan dapat mengenali bakal calon mereka kelak untuk memberikan sokongan.