KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaafkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) yang menyokong Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Walaupun Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu telah memaafkan, namun Presiden UMNO itu tetap mahu kesemuanya menarik balik SD tersebut.
“Saya mengambil pendirian bahawa 10 ahli Parlimen itu terdiri daripada BN dan Umno, tapi peristiwa itu berlaku ketika dalam usaha pembentukam kerajaan ketika itu di mana tidak ada mana-mana parti gabungan yang mempunyai kelayakan untuk melepasi 50 peratus daripada kerusi Parlimen, kata Ahmad Zahid ketika ditemui media Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur disini hari ini.
Kata Ahmad Zahid, “10 ahli Parlimen ini mesti menarik balik surat sokongan dengan melakukan revocation of SD, ertinya membuat surat akuan sumpah untuk menarik balik.
“Oleh kerana perkara itu telah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan dan saya nyatakan bahawa saya telah memaafkan apa yang telah berlaku itu. Tetapi saya akan terus bersama dengan Lembaga Disiplin melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang dan juga mereka mengadakan mana-mana gerakan.
“Tetapi saya yakin mereka akan tetap bersama Umno dan BN dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang”
Ahmad Zahid bagaimanapun tetap yakin bahawa kesemua 10 Ahli Parlimen itu telah tersalah langkah oleh kerana ketidaktentuan politik ketika itu.
“Pendedahan yang saya buat dalam majlis taklimat itu adalah pendedahan secara tertutup yang saya cuma berkongsi maklumat kerana mereka harus tahu apa yang berlaku di sebalik penubuhan Kerajaan Perpaduan.
“Oleh kerana kita harus bergerak ke hadapan, maka yang terbaik ialah bagi kita untuk menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran kerana keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan BN semua gerakan mestilah dibuat secara ‘enbloc’ (satu pasukan).
“Oleh kerana kesemuanya 30 ahli Parlimen termasuk yang 10 itu kini sudah bersama menyokong semula, maka saya tidak fikir tindakan itu dilakukan mereka dan kita hendaklah bergerak ke hadapan untuk melakarkan realiti baharu politik tanah air,” katanya.