MAJLIS AMANAT 2023 MENTERI PERPADUAN NEGARA

PUTRAJAYA, 12 Januari 2023 – Kementerian Perpaduan Negara hari ini mengadalan Majlis Amanat 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurut YB Menteri, Kementerian akan memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat MADANI iaitu usaha membentuk masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan pembangunan dengan menyemai nilai-nilai murni seperti sikap saling menghormati sesama rakyat sebagai norma sosial dan budaya ke arah pengukuhan penyatupaduan masyarakat secara keseluruhannya.

“Kementerian akan memperkasa penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara bagi membina perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat, kata YB Aaron Ago Dagang ketika merasmikan Majlis Amanat Kementerian Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Putrajaya disini hari ini.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) YBhg. Dato’ Hajah Norison Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A.Kasim, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, YBrs. Puan Salasiah Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa, YBrs.Tuan Wong Kin Lun, Pemangku Ketua Eksekutif Yayasan Tun Abdul Rahman dan YBrs. Puan Ida Thien Feng Feng, Setiausaha Lembaga Yayasan Tun Razak.

Majlis ini turut dihadiri seramai 500 orang warga Kementerian dan agensi dari negeri W.P Putrajaya, W.P. Kuala Lumpur dan Selangor.

Fokus utama Kementerian bagi tahun 2023 ini masih berpaksikan kepada tiga teras utama Dasar Perpaduan Negara iaitu:
i. Patriostisme dan Demokrasi;
ii. Identiti Nasional; dan
iii. Ekosistem Perpaduan.

Untuk itu, Kementerian akan melaksanakan program-program pengukuhan perpaduan berimpak tinggi pada tahun ini termasuk Sambutan Minggu Perpaduan pada minggu terakhir bulan Mei.

“Hasrat utama penganjuran program-program seumpama ini adalah untuk mempertingkatkan lagi semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air yang berasaskan prinsip Rukun Negara.” Jelas Datuk Aaron.

Sementara itu, aspek lain yang turut diberi penekanan oleh Kementerian adalah berkaitan kesejahteraan komuniti. Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan terus diperkasa di peringkat komuniti dengan mempergiatkan lagi projek-projek pengukuhan ekonomi Rukun Tetangga.

Selain itu, aspek kolaborasi strategik dan tadbir urus perpaduan juga akan turut dipertingkatkan lagi melalui kerjasama pintar merentasi agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya dalam usaha-usaha menyatupadukan masyarakat.

Pada majlis yang sama, lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh warga Kementerian turut diadakan sebagai satu penyataan komitmen dan kesungguhan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang telus dan bebas rasuah.

#IniMalaysiaKita #Perpaduan #KpnSemarakUNITI #KitaBersama #UNITI #Unity #FoodUnites #AaronAgoDagang #TanSriMohdZukiAli #NoridahAbdulRahim

Leave a Reply