Oleh: Ariffaizal Mohd Nor Ariffin
Sebelum ini pihak yang pro kepada Perikatan Nasional (PN) menyebarkan propaganda kononnya akar umbi UMNO menentang pemimpin UMNO. Menurut ramalan mereka, akar umbi akan “boo” usul yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Salah satu usul tersebut mencadangkan agar 2 jawatan tertinggi UMNO tidak pertandingan. Namun dalam PAU ini, usul tersebut telah diluluskan setelah dilakukan pengundian secara amalan demokrasi.
Diharap selepas ini tiada lagi timbul isu “rumah sudah siap tetapi pahat masih lagi berbunyi”. Juga semoga tiada lagi gerakan seperti baling batu sembunyi tangan ataupun kempen senyap yang ke arah perpecahan angkara ingin membawa UMNO menyokong pembentukan kerajaan PN.
Meskipun ketika pengundian tersebut ada disebarkan propaganda kononnya wujudnya “perwakilan import”, namun ia bukan lagi boleh dijadikan sebagai alasan memandangkan jumlah yang menyokong usul tersebut sudah terbukti melebihi daripada ⅔.
Dakwaan kononnya ada perwakilan import, ia adalah tuduhan yang serius. Oleh itu, elok siasat dulu. Bukanlah mustahil sekiranya terdapat perwakilan yang hadir untuk kali pertama. Adalah tidak logik sekiranya terdapat perwakilan yang tidak dibenarkan masuk. Lebih tidak logik, tiada ruang tambahan untuk perwakilan import masuk ke dewan yang padat.
Alhamdulillah, akhirnya semuanya selesai dengan lancar tanpa wujud rusuhan seperti yang digambarkan oleh pihak pro PN.