KUALA LUMPUR – Sempena tahun baharu ini, seramai 27 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tinggal di Parlimen Bandar Tun Razak akan lebih semangat untuk memulakan sesi pengajian mereka apabila mereka menerima bantuan kewangan melalui Skim Bantuan Awal Ke IPT yang diberikan secara one- off oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada anak-anak Wilayah Persekutuan.

Menurut YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah, beliau amat terharu dengan usaha 37 tahun YWP ini yang istiqamah dalam membantu meringankan beban warga Wilayah Persekutuan khususnya rakyat di Parlimen Bandar Tun Razak.

Mereka ini merupakan anak-anak Wilayah Persekutuan dari golongan berpendapatan memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan serta berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di dalam atau luar negara.

Antara syarat dan kriterianya ialah pemohon mestilah lahir di Wilayah Persekutuan, ibu/ bapa/ penjaga merupakan pengundi Wilayah Persekutuan dan menetap di Wilayah Persekutuan serta mempunyai pendapatan perkapita RM1,000 dan ke bawah. Kiraan pendapatan perkapita ini ialah gabungan pendapatan seisi rumah, dibahagikan dengan bilangan tanggungan seisi rumah.

Antara penerima pada hari ini ialah pelajar 7 Diploma dan 20 pelajar Ijazah Sarjana Muda.

Selain itu, Pemberian surat tawaran skim mikro kredit YWP kepada 9 orang peniaga dan penjaja berlesen yang layak turut juga disampaikan. Surat tersebut melayakkan mereka membuat pinjaman modal perniagaan maksimum RM5,000 dengan caj pentadbiran sebanyak 2% selain simpanan 3%.

Terdapat juga seorang penerima bantuan khas berupa wang tunai RM500. Penerima merupakan ketua keluarga yang menanggung seorang anak OKU pembelajaran yang kematian ibubapa semenjak kecil.

Penyerahan bantuan pendidikan, ekonomi dan sosial ini telah disampaikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail yang diiringi oleh YBhg. Datuk Zaizalnizam Bin Zainun, Ketua Pegawai Eksekutif YWP.

“Para penerima bantuan ini diharap dapat memanfaatkannya dengan baik demi masa depan mereka.

Rakyat Wilayah Persekutuan juga dialu-alukan merujuk ke laman sesawang Yayasan Wilayah Persekutuan iaitu www.yayasanwp.org.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan skim ini atau skim bantuan lain yang ditawarkan”, ujar Datuk Zaizalnizam Zainun, Ketua Pegawai Eksekutif YWP.

Justeru, YWP sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan yang dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan turut sangat mengalu-alukan kerjasama strategik dan sumbangan dari agensi luar, syarikat korporat atau individu untuk pembangunan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, demi membantu meringankan beban rakyat terutama golongan B40 dan Miskin Bandar.

Leave a Reply