KAJANG, 19 Januari 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kapasiti 195 Penguat Kuasa meliputi Pejabat Negeri Shah Alam, Cawangan Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor serta 67 Pegawai Pemantau Harga (PPH) komited menyelia pematuhan peniaga di Selangor menjual barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina (TBC) 2023 yang mula berkuatkuasa sejak 15 Januari dan berakhir pada 29 Januari 2023 ( 15 hari berkuatkuasa).

Selaras dengan berkuatkuasanya Skim ini, satu pemeriksaan dan tinjauan pematuhan SHMMP TBC 2023 dilakukan bertempat di Pasaraya AEON, Cheras Selatan, Balakong, Selangor.

Pemeriksaan diketuai oleh Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey selaku Pengarah KPDN Selangor serta dihadiri bersama Tuan Mohd Khairi bin Jamaludin, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri. Turut menyertai pemeriksaan, Tuan Mohd Shahran bin Mohd Arshad, Ketua Sektor (Operasi), Seksyen Penguat Kuasa, Tuan Md Zaki bin Samad, Ketua Sektor (Pencegahan), Seksyen Penguat Kuasa, Tuan Ruhaizad bin Zahari, Ketua Penguat Kuasa KPDN Kajang dan Pegawai Kanan KPDN Selangor.

Tujuan pemeriksaan adalah untuk membuat tinjauan tahap kesediaan dan kerjasama pematuhan peniaga di bawah penguatkuasaan Skim ini.

Pada masa yang sama, pasukan pemeriksaan berpeluang mendekati peniaga dan wujudkan libat urus serta advokasi bersama peniaga. Libat urus dan advokasi ini dapat membantu peniaga memahami dan mematuhi penguatkuasaan Skim serta perundangan yang dikuatkuasakan.

Pada masa yang sama, KPDN Selangor dapat mendengar reaksi balas pengguna secara real-time berhubung pelaksanaan Skim ini dan pasukan pemeriksaan dapat memberikan advokasi kepenggunaan secara terus kepada pengguna yang berkunjung di lokasi pemeriksaan. Pemeriksaan seperti ini merupakan gerak kerja berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim berkuatkuasa bagi memastikan prestasi pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong konsisten berada pada tahap yang baik.

Terdapat enam (8) jenis barangan harga terkawal telah diwartakan harga maksimum musim perayaan TBC 2023 bagi seluruh Negara:

Pada masa yang sama, ayam dan telur ayam masih disambung pewartaan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam dan masih berkuatkuasa sejak 12 Oktober 2022.

Pemeriksaan memfokuskan kepada pematuhan peniaga runcit dan borong terhadap penggunaan tanda harga berwarna merah jambu (pink tag) di bawah Skim ini. Pematuhan penggunaan tanda harga berwarna merah jambu wajib dipatuhi untuk kemudahan urus niaga pengguna di peringkat runcit dan borong bagi mengenal pasti jenis barang yang terlibat di bawah Skim ini . Lain-lain perkara relevan turut diperiksa seperti pematuhan penentusahan alat timbang sukat, tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan dan keberadaan bekalan.

Pelaksanaan Skim ini dikuatkuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah Skim ini.

Hasil pemeriksaan hari ini, mendapati premis diperiksa memberi kerjasama dan berada pada tahap pematuhan yang baik dan adalah ditegaskan prestasi yang sama turut dilaksanakan oleh peniaga lain yang berada di sekitar Selangor demi manfaat bersama kepada pengguna dan peniaga.

Harapan KPDN Selangor agar pelaksanaan Skim ini dapat meringankan kos belanja pengguna di Selangor dalam tempoh musim perayaan dan peniaga pula beri kerjasama mematuhi arahan serta beretika dalam menguruskan perniagaan. Pengguna juga disarankan membuat pembelian secara terancang dan tidak mencipta suasana pembelian panik yang boleh memberi kesan kepada bekalan.

Sehingga kini, prestasi keberadaan bekalan di Selangor adalah terkawal dan pemeriksaan bekalan secara giat dilakukan oleh KPDN Selangor bagi membolehkan tindakan segera dan berfokus dapat dilaksanakan terhadap lokaliti yang terganggu bekalannya. KPDN Selangor juga akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) anggota Penguat Kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran urus niaga yang harmoni dan beretika.

KPDN Selangor meminta kerjasama orang ramai untuk mempraktikkan PENGGUNA BIJAK ADU mengenai isu harga, bekalan dan salah laku mana-mana peringkat perniagaan menerusi saluran aduan rasmi seperti di bawah:

i. Whatsapp 019-279 4317/ 019-848 8000
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP
vi. Bilik Gerakan KPDN Selangor 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485

Leave a Reply