KUALA LUMPUR, 13 FEBRUARI 2023 – Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini berkesempatan hadir ke Restoran Nasi Kandar Stadium di sekitar Cheras, Kuala Lumpur untuk melihat dan merasai Menu RAHMAH yang di sediakan di restoran tersebut.
Menu RAHMAH merupakan makanan tengah hari atau malam yang seimbang dan merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan iaitu pada harga RM 5.00 sepinggan. Dengan tawaran harga menu yang sangat berpatutan ini, ianya sedikit sebanyak dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
Susulan daripada kerjasama sinergi di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama industri restoran dan peruncitan, inisiatif “Menu RAHMAH” ini telah berjaya menarik kerjasama bersama industri rantaian restoran makanan segera.
Pada hari ini, pihak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) bersama-sama beberapa pengusaha restoran India Muslim lain turut hadir merasai Menu RAHMAH di restoran nasi kandar tersebut. Yang Berhormat Menteri telah memulakan program Jelajah Menu RAHMAH ke negeri-negeri dimulai dengan pelancaran peringkat negeri Johor pada 9 Februari 2023 dan program jelajah seterusnya akan diadakan di negeri Perls pada 14 Februari 2023. KPDN juga mengalu-alukan pengusaha restoran untuk mendaftar menu rahmah di pejabat KPDN negeri untuk membantu mempromosikan restoran tersebut.
KPDN turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengusaha restoran yang bersemangat menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah kepada rakyat. Program ini sebagai Quick Win dan merupakan kerjasama sinergi antara kerajaan dan industri restoran. Kerajaan akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus bersama pengusaha restoran untuk mempromosikan Menu Rahmah ini melalui platform direktori yang akan diwujudkan oleh Kerajaan agar rakyat boleh mendapatkan makanan ini di lokasi yang berhampiran dengan mereka.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my