PUTRAJAYA, 6 Februari 2026 — Projek Global Wakaf Al-Quran, hasil kerjasama strategik antara Yayasan Restu dan TOYYIBPAY, disasarkan menjadi inisiatif wakaf digital bertaraf antarabangsa dengan misi memperluaskan akses Al-Quran ke seluruh dunia, termasuk kawasan minoriti Muslim dan komuniti yang sukar mendapatkan mushaf bertulis.

Pengarah Projek Global Wakaf Al-Quran, T.S Rahmat Bin Bayudi, berkata projek berkenaan dimeterai melalui perjanjian pada November lalu dan telah dilancarkan secara soft launch hari ini menerusi platform digital www.globalwakafalquran.org

Menurut beliau, Ramadan akan dijadikan kemuncak kempen global bagi memperkenalkan konsep wakaf Al-Quran kepada masyarakat antarabangsa menggunakan pendekatan digital yang mudah, telus dan inklusif.

“Yayasan Restu menerusi Nasyrul Quran merupakan antara pengeluar mushaf Al-Quran terbesar dunia. Dengan sokongan teknologi pembayaran digital TOYYIBPAY, kami membina satu platform global yang membolehkan wakaf dilakukan dari mana-mana lokasi,” katanya.

Setakat ini, penghantaran mushaf telah melibatkan dua kontena ke Amerika Syarikat, dan jaringan kerjasama sedang diperluaskan ke United Kingdom, Kanada, Australia, Eropah serta beberapa negara lain.

Tambah beliau, projek ini turut mendapat minat daripada rakan strategik antarabangsa termasuk China serta pemain media global bagi menembusi pasaran Eropah dan Afrika.

Menariknya, model wakaf yang diperkenalkan adalah RM50 bagi setiap modul wakaf, tanpa mengira destinasi penghantaran.

“Tidak kira sama ada mushaf dihantar ke Thailand, Alaska atau Greenland, kosnya kekal RM50. Fokus kami bukan jumlah wang, tetapi peluang untuk setiap individu berkongsi pahala wakaf,” jelasnya.

Global Wakaf Al-Quran juga menyasarkan konsep ‘Setiap Rumah, Satu Mushaf’, selain memberi penekanan kepada keperluan komuniti Muslim minoriti di Amerika Selatan yang menunjukkan permintaan tinggi.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, platform ini kini menyediakan Al-Quran dalam 30 bahasa, dengan perancangan untuk diperluaskan sehingga 60 bahasa termasuk Sepanyol, Latin, Rusia dan Itali.

Ketua Pegawai Eksekutif TOYYIBPAY, Azizul Rahman, berkata pihaknya akan melaksanakan kempen agresif sepanjang Ramadan dan Syawal dengan kerjasama masjid di seluruh negara.

“Kami akan bekerjasama dengan AJK masjid untuk menampal poster kempen dan menggalakkan setiap keluarga menjadi duta wakaf Al-Quran, khususnya ketika musim perayaan Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Masjid Malaysia, Cikgu Mahadi Muhammad Ismaili, memaklumkan pihaknya akan bertindak sebagai fasilitator utama bagi menghubungkan projek ini dengan masjid dan surau di seluruh Malaysia serta Nusantara.

“Peranan kami adalah memastikan kempen ini sampai ke peringkat komuniti masjid dan akhirnya ke pintu rumah umat Islam,” ujarnya.

Projek Global Wakaf Al-Quran dilihat sebagai satu inisiatif dakwah berimpak tinggi yang bukan sahaja memudahkan wakaf, malah memperkukuh hubungan antara komuniti global serta meningkatkan empati terhadap Islam di peringkat antarabangsa.

#GlobalWakafAlQuran #WakafDigital #RamadanBerkongsi #SetiapRumahSatuMushaf #WakafUntukUmmah #IslamGlobal #BeritaAATV #WakafTanpaSempadan #TeknologiUntukUmmah #MalaysiaPrihatin

Leave a Reply