PETALING JAYA – Dengan kapasiti, pengalaman lebih 50 tahun dan keupayaan pimpinannya, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) mampu menjadi platform terbaik menghubungkan generasi muda yang memerlukan bimbingan dalam pelbagai aspek; dengan pihak kerajaan yang sentiasa terbuka mendengar suara mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata (MAYC) perlu mengadakan lebih banyak aktiviti yang menumpukan golongan muda terutama di kawasan luar bandar dan tidak hanya mengadakan aktiviti atau program di bandar sahaja.
“Ini kerana di luar sana ada ramai anak muda yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar anda semua,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan Ke-61 di sini malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim serta Presiden MAYC Mohd Al-Hafizi Abu Bakar.
Ahmad Zahid berkata MAYC juga harus bijak mendepani perubahan dan pemikiran anak muda yang semakin kompleks dalam memperjuang hak golongan itu.
Timbalan Perdana Menteri turut memuji kematangan MAYC menyesuaikan diri dengan kepimpinan kerajaan di sebalik peralihan pemerintahan negara yang berlaku beberapa kali sebelum ini.
“Atas kebijaksanaan pimpinan MAYC, anda semua berupaya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan dalam apa keadaan terus mampu malah dapat perjuangkan hak serta kepentingan anak muda.
“Ini menunjukkan bahawa generasi belia dalam MAYC matang, bijak dan tahu berdiplomasi dalam kelantangan memperjuang kepentingan belia,” katanya yang turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada MAYC.