KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 serta segala aktiviti penerbitan buku akan terus disokong oleh Kerajaan dalam usaha memperkukuhkan budaya membaca dikalangan Keluarga Malaysia.
Menurut YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, penganjuran PBAKL2022 ini merupakan satu acara terbesar negara yang menjadi pemangkin terhadap perkembangan industri buku dan dapat memupuk budaya membaca bagi mewujudkan Keluarga Malaysia yang celik ilmu.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui agensi berkaitan disaran melaksanakan sebarang usaha memajukan industri penerbitan buku tempatan.
“Saya menyeru kepada Keluarga Malaysia sekalian agar sentiasa membaca buku supaya dapat melahirkan masyarakat bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian,” katanya ketika berucap bagi merasmikan PBAKL2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur disini hari ini.
Untuk PBAKL 2022 kali ini, terdapat lebih dari 167 pempamer sama ada dari dalam dan luar negara mengambil bahagian pada acara yang mendapat sambutan ramai.
“Bukan itu sahaja, ia juga turut dimeriahkan dengan pembukaan sebanyak 709 tempat untuk mempamerkan produk oleh pemain industri serta rakan strategik PBAKL.
“Pesta Buku kali ini akan turut menyasarkan seramai antara 700,000 hingga 1,000,000 pengunjung secara bersemuka yang diadakan di WTCKL kali ini, katanya
Tambahnya lagi, Keluarga Malaysia tidak seharusnya memberikan alasan tiada masa terluang untuk memberikan sokongan terhadap acara buku kali ini.
“Penganjuran Pesta Buku ini dilakukan buat pertama kali secara hibrid iaitu secara fizikal (bersemuka) mahupun secara atas talian (online).
“Keluarga Malaysia seharusnya diberikan peluang dan akses untuk mengambil bahagian dalam PBAKL 2022, katanya.
Justeru, budaya membaca seharusnya dikekalkan kerana sekiranya usaha ini gagal akan menjejas dan menghancurkan usaha Kerajaan dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya.